Lebih 880,000 kanak-kanak terutama yang berusia bawah dua tahun meninggal dunia akibat penyakit itu pada 2016.

Kajian tersebut yang dilakukan oleh Universiti John Hopkins dan kumpulan bantuan Save the Children berdasarkan trend masa kini menunjukkan lebih 10.8 juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun akan meninggal dunia pada hujung dekad berkenaan.

Melalui kajian itu, dijangkakan seramai 1.7 juta kanak-kanak di India dan Nigeria meninggal dunia akibat pe­nyakit itu, manakala 700,000 di Pakistan dan 635,000 di Republik Demokratik Congo.

Bagaimanapun kajian itu turut membawa berita baik iaitu hasil peluasan pemvaksinan dan harga antibiotik yang murah serta memastikan nutrisi baik untuk kanak-kanak akan mampu menyelamatkan seramai 4.1 juta nyawa.

Penyakit itu mampu dirawat jika dikesan lebih awal selain pesakit mempunyai sistem imun yang kuat.

Namun di seluruh dunia, penyakit itu dihidap kanak-kanak yang kekurangan zat makanan dan membunuh le­bih banyak kanak-kanak setiap tahun berbanding pe­nyakit malaria, cirit-birit dan campak.

Kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Save the Children, Kevin Watkins, hampir sejuta kanak-kanak meninggal dunia setiap tahun akibat pneumonia walaupun dunia mempunyai pengetahuan dan sumber untuk menanganinya. – AFP