Letupan itu dipercayai satu cubaan untuk menggugat politik Thailand sejak tentera merampas kuasa bagi menstabilkan keamanan pada Mei tahun lalu.

“Saya telah mengarahkan keselamatan ditingkatkan kerana kes ini melibatkan keharmonian rakyat.

“Ini menunjukkan kami masih memerlukan undang-undang tentera... masih ada pihak yang mengganggu keamanan negara. Kami perlu mencari jalan untuk menghukum mereka,” kata beliau.

Tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab dalam insiden berkenaan, manakala satu rakaman kamera litar pintas menunjukkan dua orang suspek berada dekat dengan bom paip yang meletup di pusat perniagaan paling sibuk di Bangkok itu.

Bagaimana pun, polis melaporkan, imej rakaman itu tidak jelas dan dua individu berkenaan tidak dapat dikenal pasti.

Menteri Pertahanan, Prawit Wongsuwan berkata, letupan itu menjejaskan keyakinan kepada negara ini memandangkan industri pelancongan merupakan 10 peratus daripada sumber ekonomi Thailand.

Krisis politik Thailand semakin tegang sejak bulan lalu apabila kerajaan junta melarang bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra daripada melibatkan diri dalam politik selama lima tahun.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan penyokong Yingluck dan abangnya, Thaksin Shinawatra, namun tiada tanda-tanda tunjuk perasaan akan dilancarkan berikutan kawalan ketat tentera. – REUTERS