THERESA MAY

Menurut portal berita BBC, May mendakwa kerajaan Rusia di bawah pimpinan Presiden, Vladimir Putin cuba melemahkan masyarakat yang bebas dan menanam cerita-cerita palsu untuk menyebarkan percanggahan di Barat.

Dalam ucapan dasar luar negara di Banquet Lord Mayor di Guildhall London, yang disifatkan sebagai ‘mesej ringkas’ untuk Putin, May menggesa Presiden Rusia itu untuk menukar haluan Kremlin yang telah menyaksikan Moscow terlibat dalam konflik dengan Ukraine serta serangan siber ke atas kerajaan dan Parlimen di seluruh Eropah.

May berkata, walaupun Britain tidak mahu konfrontasi berterusan dengan Rusia, pihaknya akan berusaha melindungi kepentingannya.

Jelas beliau lagi, Rusia boleh menjadi rakan kongsi berharga di Barat tetapi hanya jika mereka mengikut peraturan.

Rusia telah berulang kali me­langgar ruang udara beberapa negara Eropah dan memasang kempen pengintipan serta gangguan siber secara berterusan.

“Ini termasuk campur tangan dalam pilihan raya serta menggodam Kementerian Pertahanan Denmark dan Bundestag.

“Kami tahu apa yang anda lakukan dan anda tidak akan berjaya. Ini kerana anda memandang rendah terhadap ketahanan demokrasi kita, daya tarikan masyarakat bebas dan terbuka yang kekal serta komitmen negara-negara Barat kepada pakatan yang mengikat kita,” tegasnya.

Pendirian May jelas berbeza dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang minggu lalu mengatakan beliau percaya penafian Putin terhadap campur tangan pada pilihan raya presiden AS tahun lalu.

Beliau berkata, United Kingdom (UK) akan terus komited dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan memperoleh perjanjian Brexit yang menguatkan nilai liberal selepas meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

May turut menegas bahawa perkongsian ekonomi yang kukuh antara UK dan EU akan menjadi benteng terhadap pergolakan Rusia di Eropah.