Mail Online melaporkan, planet itu kira-kira tiga kali ganda lebih besar daripada Bumi dan dipercayai mempunyai permukaan berbatu yang cukup sejuk untuk menampung air.

Planet itu mengorbit di sepanjang pinggir zon boleh didiami di bintang ‘M-kerdil’ dan penyelidik kini berharap dapat memperincikan atmosfera serta pelbagai ciri planet baharu itu supaya dapat menilai potensinya menampung kehidupan.

Planet berkenaan dikesan oleh penyelidik dari Institut Astrofizik Kepulauan Canary menggunakan Teleskop Nasional Galileo 3.6 meter di Balai Cerap Roque de los Muchachos.

Menggunakan spektograf HARPS-N, mereka berjaya mengesan sebanyak 151 spektrum dalam tempoh 3.5 tahun.

Menurut penyelidik, setiap putaran lengkap planet itu mengambil masa 14 hari.

Para penyelidik mengatakan planet super-Bumi itu adalah yang terbesar pernah dijumpai setakat ini.