Proses pengundian yang berlangsung setahun lebih awal itu dijangka diadakan pada 22 Oktober depan, lapor BBC.

Ketika ini, Abe dikatakan memerlukan mandat baharu untuk mentadbir Jepun selepas kedudukannya hampir tergugat selain terpaksa berdepan krisis senjata nuklear berterusan daripada Korea Utara.

Populariti Abe yang mula dilantik sebagai Perdana Menteri Jepun pada 2012 menjunam awal tahun ini selepas pemimpin itu terpalit dengan dakwaan mengamalkan kronisme dalam pentadbirannya.

Difahamkan, keputu­san Abe untuk menga­dakan pilihan raya itu dibuat berikutan ke­du­du­kan pembangkang yang lemah ketika ini selain kejayaan LDP mendahului parti lain hasil satu tinjauan pendapat sebelum ini.

Bagaimanapun, Abe terpaksa berdepan pencabar baharu daripada parti konservatif Jepun iaitu Parti Harapan yang semakin mendapat sokongan daripada pe­ngundi walaupun baru dilancarkan semalam.

Parti tersebut dipimpin oleh Gabenor wanita pertama Tok­yo yang juga bekas pembaca berita tele­vi­syen ter­kenal, Yu­ri­ko Koike, 65.

“Saya percaya pertarungan kali ini (pilihan raya) adalah sengit, namun semuanya menge­nai bagaimana kami akan melindu­ngi Jepun dan pendu­du­knya serta mewujudkan keamanan untuk mereka,” kata Abe.

Ketika ini, nama Koike dise­but-sebut sebagai calon yang akan menentang Abe dalam pilihan raya itu sekali gus menjadi Perdana Menteri wanita pertama Jepun jika berjaya. – AGENSI