Kedua-dua lelaki itu masing-masing berumur 27 dan 22 tahun, ditahan di kawasan hutan di sempadan Thailand dan Malaysia kira-kira 5.30 pagi tadi (waktu tempatan).

“Penduduk kampung yang melihat kedua-dua etnik Uighur di kawasan terbabit telah melaporkan kehadiran mereka kepada pejabat daerah Sadao,yang membawa kepada penangkapan mereka,” kata Ketua Pejabat Daerah Sadao Boonpark Raknui kepada pemberita hari ini.

Pejabat Daerah Sadao menurut beliau, telah mengadakan mesyuarat dengan ketua-ketua kampung sejurus selepas kejadian itu bagi meminta bantuan penduduk kampung dalam memburu etnik Uighur yang meloloskan diri itu.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi (waktu tempatan) tiga hari lepas, 20 etnik Uighur yang sedang dalam proses dihantar semula ke negara asal mereka bertindak menebuk lubang dinding bilik tahanan mereka dan melarikan diri ke kawasan hutan di sempadan Thailand dan Malaysia.

Semalam pihak berkuasa Malaysia menahan seorang daripada etnik Uighur itu di Bukit Kayu Hitam. - BERNAMA