Pihak berkuasa tempatan juga mengeluarkan arahan yang sama terhadap pertubuhan luar dan kakitangan mereka di kawasan bencana di pulau Sulawesi.

Indonesia mempunyai tradisi yang enggan dilihat bergantung kepada bantuan luar dalam mena­ngani masalah bencana dan ke­rajaan menolak bantuan asing pada tahun ini semasa gempa bu­mi melanda pulau Lombok.

Jakarta, bagaimanapun menerima ban­tuan dari luar bagi membantu menangani kesan akibat gempa bumi 7.5 pada skala Richter dan tsunami pada 28 September lalu yang setakat ini meragut kira-kira 2,010 orang penduduk.

Namun begitu, beberapa kum­pulan asing mendakwa me­reka berdepan kesukaran untuk mendapatkan permit ba­gi membawa masuk kakitangan dan ke­lengkapan mereka malah terdapat kekeliruan tentang peraturan itu.

Terdapat banyak sekatan terhadap aktiviti pekerja bantuan asing dan agensi bencana nasional pada notis yang dimuatnaik di Twitter menetapkan peraturan bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara.

Kata agensi bencana nasional Indonesia, kumpulan bantuan asing tidak dibenarkan masuk secara langsung ke zon bencana sebaliknya perlu melakukan aktiviti mereka secara kerjasama dengan rakan tempatan.

“Warga asing yang bekerja dengan NGO luar tidak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti di kawasan terjejas.

“NGO luar yang membawa ka­kitangan asing dinasihatkan me­manggil pulang staf mereka dengan segera,” kata agensi itu.

Dalam perkembangan ber­kait­an, kawasan Petobo, Jono Oge dan Balaroa yang mengalami ta­nah jerlus akan ditutup.

Jurucakap agensi pengurusan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho yang dipetik Detik.com sebagai berkata, kawasan berkenaan akan ditutup dan dijadikan kawasan terbuka hijau selain dijadikan taman peringatan atau tempat bersejarah serta dibangunkan tugu di kawasan berkenaan.

Katanya, langkah itu dibuat sebagai peringatan bahawa lo­ka­si-lokasi tersebut pernah terjadi tanah jerlus dan tidak boleh dijadikan kawasan penempatan.

Katanya lagi, proses penca­rian mangsa akan dihentikan Khamis ini dan pada hari ter­akhir itu, acara berdoa bersama -sama penduduk akan diadakan.

“Angka korban setakat ini adalah sebanyak 2,010 orang ia­itu 1,601 orang di Palu, 171 di Donggala, 222 di Sigi, 15 orang di Parigi Moutong dan seorang di Pasangkayu, Sulawesi Barat.

“Sebanyak 934 jenazah dikebumikan secara beramai-ramai manakala 1,076 lagi dilakukan oleh ahli keluarga,” kata Sutopo.

Beliau menambah, penduduk yang cedera sebanyak 10,679 orang iaitu 2,549 cedera parah manakala 8,130 sebagai cedera ringan.