Anggota Advanced Marine Services yang berpangkalan di United­ Kingdom (UK) menemukan peti yang mengandungi sehingga empat tan logam emas berharga, dipercayai dari bank-bank Amerika Selatan di salah sebuah ruang kapal SS Minden yang tenggelam pada 1939.

Portal berita Mail Online melaporkan, emas itu dipercayai dibawa menuju ke Jerman apabila kapal itu dilaporkan tenggelam kira-kira 120 kilometer ke tenggara Iceland pada 24 September 1939, sejurus selepas Perang Dunia Kedua bermula.

Menurut akhbar The Sun, perkhidmatan marin tersebut telah memohon kepada kerajaan Iceland untuk mendapatkan kebenaran memotong sebahagian kapal berkenaan bagi mengeluarkan peti itu dan mahu membawanya pulang ke Britain.

Awal tahun ini, kumpulan itu dituduh mencari harta karun di dalam bangkai kapal kargo tersebut tanpa lesen yang sah.

Kapal kargo SS Minden berlayar dari Brazil pada 6 September 1939 selepas pegawai dari Banco Germanico, anak syarikat bank Jerman Dresdner membantu memuat kargo kapal berkenaan.

Apabila kapal tersebut ditemui oleh kapal penjelajah Britian, HMS Calypso dan HMS Dunedin, pemimpin Nazi, Adolf Hitler mengarahkan kaptennya menenggelamkan kapal kargo itu supaya Tentera Laut Diraja tidak dapat merampas barang didalamnya.

Para kru kapal SS Minden dilaporkan telah diselamatkan oleh HMS Dunedin dan dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Scapa Flow di Orkney.

Ahli sejarah sebelum ini mendakwa rekod mengatakan bahawa kargo di dalam kapal berkenaan tidak bernilai.