Syarikat Penerbangan Singapura (SIA) dalam kenyataannya berkata, kejadian berkenaan berlaku pada 23 Mei lalu apabila pesawat Airbus A330-300 itu berdepan cuaca buruk pada ketinggian 11.9 kilometer selepas tiga jam setengah berlepas dari Singapura.

“Kedua-dua enjin (pesawat) kehilangan kuasa dan juruterbang mengikut prosedur pengendalian bagi memulihkan enjin berkenaan secara normal.

“Namun, pesawat yang menggunakan kod penerbangan, SQ836 itu berjaya meneruskan penerbangan ke Shanghai dan selamat tiba (di Shanghai) pada kira-kira 10.56 petang waktu tempatan,” jelas kenyataan terbabit.

Menurut SIA, pesawat yang menggunakan enjin jenis Roll-Royce telah diperiksa dan diuji sebaik-baik tiba di Shanghai, tetapi tiada masalah luar biasa yang ditemui.

“Pihak SIA menyiasat kejadian itu dengan kerjasama syarikat pembekal enjin, Rolls-Royce and Airbus,” tambah kenyataan syarikat tersebut.

Portal industri penerbangan, Flightradar24 menerusi kenyataan dalam laman sosial Twitter melaporkan, pesawat itu kehilangan kuasa enjin dan menjunam kira-kira 3,962 meter selepas menempuh ribut kuat di Laut China Selatan.

SIA merupakan syarikat penerbangan ketiga terbesar di Asia berdasarkan nilai pasaran dan mempunyai 29 buah pesawat Airbus A330-300s untuk kegunaan komersial.

Selain itu SIA mempunyai 19 buah pesawat saiz besar, Airbus A380-800 dan mempunyai rangkaian anak syarikat iaitu SilkAir, Scoot dan Tiger Airways yang melakukan penerbangan ke 119 destinasi di 35 buah negara. – AFP