Jurucakap Tentera Udara Indonesia, Dwi Badarmanto mengesahkan pesawat pejuang Golden Eagle T-50 terhempas ketika dua juruterbang tersebut sedang membuat demonstrasi penerbangan.

“Dua juruterbang pesawat itu disahkan meninggal dunia, namun masih belum dapat dipastikan sama ada orang awam turut cedera atau terbunuh dalam kejadian itu,” katanya kepada laman web berita Detik.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan pesawat pejuang tersebut membuat gerakan aerobatik berhampiran bandar Yogyakarta sebelum menjunam pada kelajuan yang tinggi dan hilang daripada pandangan.

Beberapa saat kemudian, kepulan asap kelihatan di ruang udara dan terdengar je­ritan orang ramai yang berada di tempat kejadian menerusi rakaman video tersebut.

Pertunjukan udara tentera berlangsung sepanjang hujung minggu ini di Yogyakarta.

Jun lalu, pesawat Hercules C-130 terhempas di kawasan kediaman di Medan, bandar terbesar di Pulau Sumatera, mengorbankan 142 orang dan menyebabkan kemusnahan teruk. – AFP