Ketua Komite Nasional Ke­selamatan Transportasi Indonesia (KNKT) Soerjanto Tjahjono berkata, pesawat itu tidak meletup di udara, sebaliknya berkecai selepas terhempas di laut akibat kelajuan tinggi dan hentaman kuat.

“Pesawat itu meledak atau pe­cah (berkecai) selepas menyentuh air, serpihan-serpihan pesawat ditemui berselerakan di radius 250 meter di dasar laut,” kata­nya.

Setakat operasi pencarian pesawat itu yang memasuki hari ke-9 hari ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mene­mui serpihan-serpihan pesawat, enjin dan roda pesawat, bara­ngan milik peribadi penum­pang serta cebisan dan anggota mayat para penumpang.

Pada Khamis lalu (1 November), pasukan SAR menemui pe­rakam data penerbangan (FDR) pesawat, dan kini tumpuan pencarian adalah kepada sebahagian lagi kotak hitam pesawat itu iaitu Cockpit Voice Recorder (CVR).

Operasi SAR yang menggunakan teknologi canggih se­perti teknologi sonar, menemui FDR itu kira-kira 500 meter dari koordinat pesawat itu terhem­pas.

Penerbangan JT610, yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas di koordinat S 5 49.052 E 107 06.628 selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 29 Okt pukul 6.20 pagi.

Operasi SAR itu turut me­ngorbankan seorang penyelam awam, Syachrul Anto, 48, seorang penyelam dari Pasukan Penyelam Penyelamat Indonesia pada 3 November lepas akibat mengalami decompression sickness.

Ketua Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Muhamad Syaugi berkata, ope­rasi kini tertumpu di koordinat yang ditemui alat FDR, tetapi berdepan kesukaran berikutan isyarat 'ping' dari CVR itu telah gagal dikesan sejak dua hari lepas.

“Sehingga hari ini, 164 bungkusan (beg jenazah) dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia untuk tujuan identifikasi, ia mengandungi 429 cebisan anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Setakat ini, sebanyak 27 je­nazah dikenal pasti menerusi ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Sementara itu, penyiasat insiden pesawat terhempas mendedahkan indikator kelajuan udara Boeing 737 MAX mengalami masalah tetapi pesawat itu masih dibenarkan melakukan sekurang-kurang­nya empat penerbangan tanpa diambil apa-apa tindakan.

Menurut Ketua Jawatankuasa Pengangkutan Nasional, Soer­janto Tjahjono, perkara tersebut diketahui selepas memuat turun data daripada pesawat tersebut.

Pengeluar pesawat Boeing dan pihak berkuasa Amerika Syarikat juga diminta supaya mengambil tindakan untuk mengelak insiden yang sama berlaku.– BERNAMA/REUTERS