Pejabat Kebertanggungjawaban Kerajaan dalam laporannya berkata, ketika syarikat penerbangan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) cuba memodenkan pesawat dan memperkenalkan teknologi mengesan penerbangan menggunakan teknologi berasaskan Internet, penggodam pula mendapati kelemahan terbaharu untuk mereka eksploit.

Wakil Oregon dalam Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Kongres, Peter DeFazio berkata, senario terburuk boleh berlaku apabila seorang pengganas dengan komputer riba akan duduk bersama-sama penumpang lain dan mengambil alih pesawat menggunakan teknologi Wi-Fi.

“Keadaan itu menunjukkan satu kelemahan serius dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan perlu segera memperbaiki masalah tersebut,’’ katanya.

Sistem penerbangan di kokpit pesawat, beroperasi berasingan dan tidak bersambung dengan sistem yang digunakan penumpang untuk menonton filem atau bekerja dengan komputer riba.

Bagaimanapun, ketika syarikat penerbangan menaik taraf dengan jaringan berasaskan Internet, keadaan mungkin berubah di mana sistem Wi-Fi akan menggunakan pelayan atau sistem pendawaian sama.

Menurut laporan itu, FAA dan pakar keselamatan siber bergantung kepada sistem ‘firewall’ sebagai tembok keselamatan, namun kerana sistem itu adalah satu perisian, ia boleh digodam. – AP