Kapten Ho Tzu-yu yang memandu pesawat satu tempat duduk Mirage-2000 dilaporkan hilang daripada radar lewat petang semalam (waktu tempatan) ketika melalui kawasan timur laut sebuah pulau.

Insiden itu dikatakan berlaku kira-kira 34 minit selepas dia berlepas daripada sebuah pangkalan tentera di sini.

Selain mengerahkan 17 pesawat tentera untuk misi itu, pihak berkuasa Taiwan turut menggerakkan 10 buah kapal tentera laut dan pengawal pantai bagi membantu misi yang sama.

Bagaimanapun, pencarian pesawat itu masih menemui jalan buntu setakat ini.

“Kami berharap agar Ho (Tzu-yu) dapat diselamatkan secepat mungkin,” kata Timbalan Ketua Tentera Udara Taiwan, Jeneral Chang Che-ping.

Che-ping bagaimanapun enggan mengulas laporan yang mengaitkan keadaan kesihatan Tzu-yu sebagai punca juruterbang itu dikatakan hilang dan memberitahu bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini.

Sebanyak lima insiden membabitkan pesawat Mirage berlaku antara tahun 1999 hingga 2013 di Taiwan yang meragut nyawa tiga juruterbang. -AFP