Jawatankuasa Anti-Keganasan Rusia memberitahu, pesawat Aeroflot yang terbang dari Surgut di barat Siberia ke Moscow, ‘mengubah laluan atas permintaan salah seorang penumpang’.

“Juruterbang memutuskan untuk mendarat di Khanty Mansiysk, bandar yang terletak pada jarak 2,700 kilometer di timur Moscow,” jelas jawatankuasa itu.

Pihaknya tidak memberikan butiran lanjut namun mengatakan penyiasat berusaha untuk mengesahkan apa yang berlaku.

Agensi berita Interfax memetik sumber sebagai berkata, seorang penumpang lelaki meminta laluan pesawat itu dialihkan ke Afghanistan.

Beberapa laporan menjelaskan, lelaki itu telah ditahan dan tidak dapat dipastikan sama ada dia bersenjata atau tidak.

Pihak berkuasa menutup akses ke Lapangan Terbang Khanty Mansiysk berikutan kejadian itu. – AFP