Berdasarkan data laman sesawang menjejaki penerbangan, FlightRadar24, pesawat tersebut terbang pada altitud dan kelajuan yang tidak menentu beberapa minit selepas berlepas dari lapangan terbang Denpasar pada petang Ahad lalu.

Ketinggian pesawat dikatakan turun serendah 875 kaki dalam masa 27 saat.

Juruterbang bagaimanapun mengekalkan pesawat ber­kenaan berada pada ketinggian maksimum iaitu 28,000 kaki berbanding 36,000 kaki di laluan yang sama pada awal minggu lalu.

Data yang diperoleh daripada laman sesawang itu juga mendedahkan isyarat pertama yang menunjukkan pesawat tersebut berdepan masalah dikesan dua minit selepas berlepas dan ketika berada pada ketinggian 2,000 kaki.

Ketika itu, pesawat tersebut menurun lebih 500 kaki dan melencong ke kiri sebelum meningkatkan ketinggian ke 5,000 kaki.

Pesawat JT610 meningkatkan kelajuan berbanding kebia­saan sehingga 397 kilometer perjam atau 345 knot sebelum data hilang ketika pesawat berada pada ketinggian 3,650 kaki.

Beberapa saksi yang me­rupakan nelayan tempatan memaklumkan bahawa pesawat malang itu kelihatan beroleng tetapi tidak mengeluarkan sebarang bunyi ketika jatuh hampir melintang dengan muncung ke bawah sedikit.

Namun, mereka berkata, terdapat bunyi letupan ketika pesawat itu terhempas ke dalam laut dan keluar kepulan asap.

Sementara itu, pakar ke­selamatan menegaskan bahawa siasatan nahas baru bermula dan masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi mengenai puncanya terhempas.

Mereka tidak menolak kemungkinan yang dinyatakan oleh FlightRadar24 menjadi punca kepada pesawat malang itu terhempas. – REUTERS