Portal Channel News Asia yang memetik kenyataan SIA melaporkan, kejadian itu berlaku ketika pesawat tersebut berada di udara selama beberapa jam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada kira-kira pukul 2.05 pagi ini.

Jelas SIA, pesawat SQ368 jenis Boeing 777-300ER itu terpaksa berpatah balik selepas menerima isyarat amaran di bahagian enjin.

Bagaimanapun, semua 222 orang penumpang dan 19 anak kapal yang berada dalam pesawat berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang penumpang, Lee Bee Yee memberitahu bahawa sebelum kejadian, terdapat bau minyak yang kuat di dalam pesawat itu.

“Juruterbang berkata, mereka terpaksa berpatah balik kerana minyak di bahagian enjin bocor dan penerbangan itu tidak dapat diteruskan.

“Ketika itu, kebanyakan daripada kami sedang tidur dan tidak terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut,” katanya yang menaiki penerbangan itu bersama suaminya.

Jelas Bee Yee, selepas pesawat itu penumpang mula bersorak dan bertepuk tangan, ketika itu berlaku satu percikan dan api mula marak di bahagian kanan sayap pesawat.

“Saya bangun dan bersedia untuk lari. Namun, pihak penerba­­ng­an­­ membuat satu pengumuman menyuruh kami bertenang dan tidak ke mana-mana.

“Kebanyakan penumpang ketika itu berada dalam ketakutan, tapi, tiada sesiapa yang meninggalkan tempat duduk masing-masing,” ujarnya.

Selepas semua penumpang dikeluarkan dari pesawat, sepasukan anggota bomba tiba sebelum membuat semburan air dan buih bagi memadam kebakaran.

Kebakaran itu berjaya dipa­damkan dalam masa kira-kira 10 minit.

Ekoran kejadian itu, SIA dikatakan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan kes.