Pesalah rasuah yang menjalani hukuman boleh mendapatkan pa­kej istimewa iaitu sel penjara mewah dan pakej bebas keluar masuk penjara dengan bayaran Rp200 juta (RM56,200) hingga Rp500 juta (RM140,500).

Menerusi bayaran atau so­gokan rasuah, banduan di penjara yang terletak di Jalan AH Nasution, Kota Bandung itu akan memegang sendiri kunci sel penjara, membolehkan mereka bebas keluar dan masuk sesuka hati.

Timbalan Pengerusi Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia (KPK), Laode Muhammad Syarif berkata, KPK menahan empat suspek iaitu ketua penjara ber­kenaan, seorang staf penjara dan dua banduan yang sedang menjalani hukuman tetapi berada di luar penjara, semalam.

Kata Laode Muhammad, Ke­tua Penjara Sukamiskin, Wahid Husen yang baru empat bulan menjawat jawatan itu ditahan semalam di rumahnya di Bandung dan KPK turut menemui wang berjumlah ratusan juta rupiah, dipercayai berkaitan bayaran pakej berkenaan.

Hasil siasatan dan serbuan pasu­kan KPK di penjara itu semalam mendapati terdapat beberapa sel penjara telah diubah suai seperti kamar hotel yang dilengkapi penghawa dingin, televisyen dan peti sejuk untuk mereka (banduan) yang membayar pakej berkenaan.

Media di Indonesia melaporkan, antara banduan yang ditahan itu ialah suami kepada artis popular Indonesia era 1990-an, Inneke Koesherawati.

Suaminya, Fahmi Darmawansyah, seorang usahawan dijatuhi hukuman penjara dua tahun lapan bulan atas kesalahan rasu­ah pada Mei tahun lepas.

KPK turut menyoal siasat Inneke berhubung penahanan suaminya itu.

Kementerian Uandang-Undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia dilaporkan turut menjalankan siasatan berhubung pendedahan dan tangkapan KPK itu. – BERNAMA