Ini kerana tidak semua umat Islam mampu me­nguasai bahasa Arab seperti Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk Islam pa­ling ramai di dunia manakala berjuta-juta lagi umat Islam merupakan penutur bahasa Urdu.

Menurut pegawai biro penterjemah haji, Mazen al-Saa­di, secara keseluruhan sebanyak 80 peratus umat Islam yang me­ngunjungi Mekah bukan penutur bahasa Arab.

Justeru pasukannya sentiasa bersedia 24 jam untuk menyalurkan khidmat kepada jemaah haji bagi menterjemah bahasa antaranya bahasa Inggeris, Perancis, Parsi, Melayu, Hausa, Turki, Cina dan Urdu yang merupakan bahasa yang meluas digunakan dalam kalangan jemaah.

Seorang jemaah haji, Samir Varatchia dari Pulau Reunion, Perancis menyifatkan kehadiran kumpulan lelaki berpakaian vest kelabu yang merupakan pakaian seragam pasukan penterjemah itu amat dialu-alukan.

“Saya tidak banyak mengetahui tentang bahasa Arab, oleh itu terjemahan bahasa Perancis akan membantu kami memahami ba­nyak perkara termasuk doa yang dibacakan,” katanya.

Penterjemah Tunisia, Abdulmumen al-Saket berkata, dia gembira dapat membantu.

“Kami cuba mem­bantu sedaya mungkin termasuk membaca peta untuk me­reka malah ada yang mahukan nombor telefon kami untuk menghubungi ka­mi kemudian jika mereka memerlukan bantuan,” katanya.

Kata Mazen, jemaah haji dari India, Pakistan, Nepal dan Bangladesh hanya mampu bertutur da­lam bahasa Urdu.

Justeru banyak pa­pan tanda arah untuk jemaah haji diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, Urdu termasuk Perancis.

Masjidilharam di Mekah mempunyai perkhidmatan terjemahan dan mentafsir yang paling banyak untuk jemaah haji.

Beberapa jabatan khas telah diwujudkan untuk mengendali bacaan doa dan peraturan malah talian penting menggunakan berpuluh-puluh bahasa untuk soal jawab agama juga mudah didapati. – AFP