Trump menerusi Twitter­nya menulis bahawa kema­sukan pendatang dari Mexico ke negara ini perlu dihentikan.

“Pasukan tentera dikerahkan untuk menangani ‘situasi darurat’ ini. Mereka (pendatang) akan dihentikan,” tulisnya.

Menurut pegawai pentadbiran Trump, Jabatan Ke­selamatan Dalam Negeri (DHS) sudah meminta Pentagon menghantar kira-kira 800 hingga 1,000 anggota tentera ke kawasan terlibat.

Pasukan tentera AS dilarang melakukan penguatkuasaan awam di negara ini melainkan menerima arahan khusus da­ripada Kongres.

Selain itu, pasukan tentera yang ditempatkan di kawasan sempadan kedua-dua negara akan ditugaskan menguruskan hal-hal berkaitan logistik dan perkhidmatan infrastruktur seperti mendirikan khemah dan bukannya aktiviti penguatkuasaan.

Ketika ini, terdapat kira-kira 2,100 anggota tentera AS di sepanjang kawasan sempadan AS dan Mexico, tetapi permintaan DHS untuk menempatkan tentera dalam skala besar merupakan kali pertama dibuat di bawah pentadbiran Trump.

Pentagon pula memaklumkan, pihaknya kini bekerjasama dengan DHS untuk menentukan ‘sokongan yang spesifik’ terhadap Agensi Kastam dan Perlin­dungan Sempadan.

Trump dan semua anggota Republikan menjadikan hal berkaitan gerombolan dan kema­sukan pendatang sebagai isu utama menjelang pilihan raya pertengahan yang bakal berlangsung pada 6 November ini bagi meraih undi, sekali gus te­rus berkuasa dalam pentadbiran AS. – REUTERS