Ini bagi membolehkan dia ‘kelihatan’ 20 tahun lebih muda berbanding usia sebenar.

Ratelband, 69, mahu menukar tarikh lahirnya iaitu dari 11 Mac 1949 kepada 11 Mac 1969 selain menyifatkan pertukaran tersebut adalah sama seperti individu yang mahu menukar status diri.

“Kita hidup dalam zaman yang membolehkan kita menukar segala-galanya, oleh itu kenapa saya tidak boleh menentukan usia saya sendiri,” kata­nya yang dilaporkan portal BBC.

Mahkamah di bandar Arnhem di sini dijangka membuat keputusan kes itu dalam tempoh empat minggu namun pegawai perundangan meragui kes itu kerana tiada mekanisme undang-undang yang membenarkan individu untuk menukar tarikh lahir.

Salah seorang hakim juga mahu mengetahui aktiviti sepanjang tempoh 20 tahun yang mahu dipadam oleh lelaki tersebut.

Ratelband berkata, akibat faktor usia, dia merasakan telah di­diskriminasi, peluang pekerjaan tergugat dan sukar mendapat temu janji dengan wanita melalui aplikasi temu janji, Tinder.

“Pada usia 69 tahun semua­nya terhad untuk diri saya. Jika saya berusia 49 tahun, saya boleh membeli rumah, memandu kereta lain dan boleh melakukan lebih banyak kerja,” katanya.

Malah dia mendakwa, doktor peribadi memaklumkannya mempunyai tubuh individu yang berusia 45 tahun.

Ratelband yang juga seorang jurulatih pengaturcaraaan neurolinguistik pernah me­nyumbang suara untuk karakter Vladimir Trunkov versi bahasa Belanda bagi filem terbitan ­Pixar, Cars 2.