PHNOM PENH 10 Sept. – Permintaan terhadap menu makanan berasaskan daging anjing di Kemboja dilaporkan semakin meningkat dan keadaan itu dibimbangi menjejaskan alam sekitar, tahap kesihatan dan populasi haiwan berkenaan.
Channel News Asia melaporkan, stigma pernigaan menjual daging anjing yang dulunya dipandang jijik kini bertukar menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk pelancong asing yang datang ke negara ini.
Di sekitar bandar raya ini sehinggalah ke kawasan pedalaman di seluruh Kemboja, terdapat banyak restoran yang menghidangkan daging anjing bagi memenuhi selera orang ramai.
Biarpun tiada data rasmi, menurut sumber kepada Channel News Asia, permintaan dan jumlah pembukaan restoran yang menghidangkan daging anjing semakin meningkat dari semasa ke semasa.
Menurut seorang peminat daging anjing yang enggan dikenali berkata, daging haiwan tersebut diibaratkan seperti ubat yang boleh menyihatkan badan dan lebih lazat berbanding daging khinzir.
Dalam pada itu, timbul banyak laporan yang dilakukan penduduk tempatan berhubung haiwan peliharaan mereka terutamanya anjing dicuri dan dipercayai dibunuh untuk dijadikan hidangan di restoran.
Berdasarkan sumber yang diperoleh daripada Humane Society International (HSI), dianggarkan kira-kira 30 juta anjing di seluruh rantau Asia termasuk China dan Korea Selatan dibunuh setiap tahun untuk dijadikan hidangan makanan.