Pasukan penyelidik di Universiti Cambridge dengan kerjasama media Belanda membangunkan permainan dalam versi bahasa Inggeris itu bagi mewujudkan kesedaran belia mengenai bahana berita palsu serta bagaimana untuk menangani isu tersebut.

Permainan itu memberi peluang kepada pemain mencipta medium berita palsu mereka sendiri bagi mencetuskan rasa takut, marah dan tidak percaya menerusi manipulasi pelbagai maklumat secara dalam talian.

Para pemain juga boleh memilih bagaimana untuk memalsukan berita, menggunakan ‘tentera siber’, mereka-reka bukti serta mencetuskan propaganda kepada pelbagai artikel dan teori konspirasi.

Pengarah Makmal Pembuatan Keputusan Sosial di Universiti Cambridge, Sander Van Der Linden berkata, permainan itu boleh membantu membina ‘antibodi mental’ bagi menghalang golongan muda daripada terjebak dalam penyebaran berita atau maklumat palsu.

“Teori psikologi yang digunakan dalam permainan ini dinama­kan sebagai ‘inokulasi’ dan secara tidak langsung membantu golongan muda bagaimana untuk membendung penyebaran berita palsu apabila berdepan dengan pihak-pihak yang cuba menjatuhkan mereka menggunakan pelbagai maklumat salah,” katanya.

Pendedahan secara tidak langsung terhadap penggunaan taktik pihak-pihak yang sering menyebarkan berita palsu boleh mewujudkan ‘vaksin psikologi’ untuk membanteras kempen anti sains palsu.

Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap pelajar-pelajar sekolah tinggi di Belanda, permainan itu menunjukkan mereka cenderung untuk me­ngatasi penyebaran berita palsu berbanding kumpulan terkawal.

Permainan itu dijangka diterjemahkan dalam beberapa bahasa untuk negara seperti Ukraine yang menyaksikan kempen menentang berita palsu dilakukan secara besar-besaran. – AFP