Satu serangan bom merosakkan sebuah gerabak kereta api Sungai Kolok-Hatyai berhampiran Stesen Kereta Api Ban Nikhom Khok Pho di daerah Khok Pho, Pattani mengakibatkan seorang kakitangan (SRT), Chawalit Khongpan terbunuh manakala tiga lagi cedera.

Bangkok Post melaporkan, ketika kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kakitangan ter­babit berada di dalam gerabak terakhir kereta api tersebut.

Polis percaya kejadian itu didalangi oleh kumpulan pemisah ketika keganasan di wilayah selatan Thailand telah meragut lebih 6,500 nyawa sejak lebih 12 tahun lalu.

Menurut SRT, kesemua per­khidmatan kereta api ke Pattani, Yala dan Narathiwat dari Hatyai ditangguhkan serta-merta buat tempoh sementara.

Pengumuman itu meng­akibatkan sebahagian besar penum­pang yang merancang perjalanan dari Bangkok ke Su­ngai Kolok dengan kereta api terkandas di Hatyai, Songkhla.

Bagaimanapun, SRT menyelesaikan masalah itu dengan menyediakan beberapa buah bas bagi membawa penum­pang berkenaan dari Hatyai ke destinasi tujuan mereka di tiga wilayah tersebut.

Dalam pada itu, Gabenor SRT, Wuthichart Kallayanamitr dilapor akan menilai kerosakan dan merangka pelan bagi memulihkan landasan serta gerabak kereta api yang rosak.

Serangan bom ke atas kemudahan kereta api itu adalah ke­ganasan kedua yang menjejaskan perkhidmatan SRT tahun ini.

Pada 3 Julai lalu, satu bom buatan sendiri merosakkan landasan antara Stesen Kereta Api Rueso di Narathiwat dan Balo di Yala yang mengakibatkan pe­nangguhan perkhidmatan selama 10 hari bagi kerja pembaikan kemudahan berkenaan.