Menurut dua sumber kerajaan di sini, Bangladesh hari ini akan mengemukakan bantahan rasmi terhadap penanaman periuk api berkenaan yang terlalu hampir dengan sempadan negaranya.

“Mereka (Myanmar) menanam periuk api di sepanjang pagar sempadan dalam kawasan mereka ia­itu di antara dua tiang sempadan,” kata kedua-dua sumber itu yang enggan dikenali ekoran sensitiviti krisis tersebut.

Mereka turut mendedahkan bahawa negara ini mengetahui tentang periuk api berkenaan melalui bukti gambar dan pemberi maklumat.

“Anggota tentera kami juga melihat beberapa orang dalam tiga sehingga empat kumpulan sedang bekerja dekat pagar ber­kenaan, mereka sedang menanam sesuatu dalam tanah,”

“Kami kemudian mengesahkan perkara itu dengan pemberi maklumat yang turut mengesahkan ia adalah periuk api,” kata salah seorang daripada mereka.

Walau bagaimanapun, sumber-sumber tersebut tidak menjelaskan sama ada kumpulan berkenaan memakai uniform namun menegaskan mereka pasti kumpulan itu bukan anggota militan Rohingya.

“Mereka (Myanmar) tidak me­lakukan apa-apa di kawasan Bangladesh tetapi kami sebelum ini tidak pernah melihat periuk api sedemikian di kawasan sempadan,” kata mereka.

Pegawai kawalan sempadan Bangladesh, Manzurul Hassan Khan memberitahu Reuters, semalam dua letupan kedengaran di kawasan Myanmar selepas timbul spekulasi anggota tentera Myanmar menanam periuk api.

Seorang kanak-kanak lelaki putus kaki kirinya semalam semasa menyeberang sempadan dan kemudian dibawa ke negara ini untuk mendapat rawatan manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki cedera ringan dipercayai akibat letupan periuk api.

Seorang pelarian Rohingya yang pergi ke kawasan letupan itu kelmarin iaitu berhampiran kawasan orang awam yang melarikan diri, berjaya merakamkan gambar periuk api terbabit yang berbentuk cakera logam berukuran 10 sentimeter yang ditanam dalam lumpur.

Dia percaya terdapat lebih dua bahan letupan itu tertanam di kawasan berkenaan.

Dua lagi pelarian turut memberitahu Reuters yang mereka melihat anggota tentera Myanmar berada di kawasan letupan yang berlaku pada pukul 2.25 waktu tempatan, kelmarin.

Sementara itu, enam mayat ditemukan pagi ini selepas sebuah bot yang membawa berpuluh-puluh etnik Rohingya karam di Teluk Bengal berhampiran tenggara sempadan Myanmar dan Bangladesh.

Agensi berita China Xinhua melaporkan, berpuluh-puluh lagi dipercayai hilang manakala Pegawai Pemerintah Batalion ke-42 Pengawal Sempadan Bangladesh, Leftenan Kolonel SM Ariful Islam memberitahu, bot itu dipercayai karam semalam.

Sementara itu, Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi hari ini menyalahkan kumpulan ‘pengganas’ yang didakwanya memberi ‘maklumat salah yang terlalu besar’ berhubung keganasan yang tercetus di wilayah Rakhine.

Beliau bagaimanapun tidak membuat sebarang ulasan tentang hampir 125,000 etnik Ro­hingya yang terpaksa melarikan diri dari Myanmar ke sempadan negara ini sejak 25 Ogos lalu.

Suu Kyi kini menghadapi tekanan dari negara-negara Islam berhubung krisis tersebut dan semalam Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran risiko tentang pembersihan etnik dan ketidakstabilan di rantau berkenaan.

Pemimpin wanita itu semalam berhubung dengan Presiden Turki, Tayyip Recep Erdogan melalui telefon selepas Erdogan mendesak pemimpin-pemimpin dunia meningkatkan bantuan terhadap seramai 1.1 juta etnik Rohingya yang menghadapi pembunuhan beramai-ramai.

Melalui Facebook, Suu Kyi mendakwa kerajaan ‘telah pun mula melindungi semua penduduk di Rakhine sebaik mungkin’ dan memberi amaran terhadap maklumat salah yang boleh mencemar hubungan negara itu dengan negara-negara lain.

Dalam pada itu, seramai 26,747 etnik Rohingya telah di­pindahkan ke tempat yang selamat di utara wilayah Rakhine ekoran serangan kumpulan militan. – Agensi