Hari ini pula, mencatat apa yang dianggap perhimpunan terbesar umat Islam di dunia apabila berlangsungnya wukuf di Arafah iaitu merupakan salah satu rukun haji paling penting.

Kesemua jemaah haji ditempatkan dalam khemah-khemah yang telah ditetapkan oleh pemerintah Arab Saudi sebelum mereka bergerak untuk bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Walaupun berhadapan de­ngan kecaman dan pemulauan oleh pemerintah Iran berikutan peristiwa rempuhan di Mina yang menyaksikan sekitar 400 jemaah haji Iran terbunuh namun perkara itu sama sekali tidak menggugat pemerintah Arab Saudi untuk memastikan pelaksanaan Rukun Islam kelima itu berjalan lancar.

Sebaliknya pemerintah Arab Saudi terus melakukan pelbagai langkah penambahbaikan bagi memastikan keselesaan dan ke­selamatan jemaah haji. Tindakan Iran yang mahu negara-negara Islam ‘bersekongkol’ dengan mereka bagi mengecam Arab Saudi ternyata tidak berhasil.

Iran dianggap cuba mempolitikkan satu perkara yang tidak sewajarnya dipolitikkan iaitu ibadah haji. Atas sebab itulah dalam satu kenyataan pada Rabu lalu, Ketua Jabatan Media Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Maha Akeel menegaskan, ibadah haji adalah Rukun Islam yang harus dibebaskan daripada sebarang mainan atau perbezaan politik.

“OIC menyanjung tinggi ko­mitmen Arab Saudi dalam me­layani jemaah haji dan menyediakan perkhidmatan yang mereka perlukan dalam melaksanakan ibadah itu,” katanya.

Kenyataan itu sekali gus menolak sebarang gesaan Iran supaya negara-negara Islam mengkaji pengurusan haji oleh Arab Saudi.

Apapun pemerintah Arab Saudi tidak terganggu dengan mainan politik Iran sebaliknya melakukan pelbagai usaha bagi memastikan perjalanan ibadah haji tahun ini bebas daripada segala masalah.

Berikutan itu, selain pembesaran Masjidilharam, pemerintah Arab Saudi melalui Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Putera Muhammad Naif menegaskan, negara itu sudah menyediakan pelan kecemasan untuk berhadapan dengan apa juga situasi di luar jangkaan.

“Tugas kami adalah memastikan keselamatan jemaah haji. Arab Saudi akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pencabulan undang-undang dan tidak akan bertolak ansur dalam soal keselamatan jemaah haji,” katanya.

Dalam usaha memastikan ke­selamatan jemaah haji juga, sejak minggu lalu hampir 200,000 orang yang cuma memasuki Mekah tanpa permit haji telah diusir dan diarah berpatah balik di beberapa pusat pemeriksaan.

Apapun berdasarkan pemerhatian penulis dan laporan media di Arab Saudi adalah jelas peme­rintah negara itu telah melakukan segala usaha bagi memastikan perjalanan musim haji tahun ini jauh lebih baik berbanding tahun lalu.

Negara-negara Islam amat me­nyanjungi dan menghargai segala usaha yang dilakukan oleh pemerintah Arab Saudi kerana semua pihak memahami bukanlah mudah untuk menguruskan hampir dua juta orang dalam satu-satu masa apatah lagi mereka datang dari seluruh pelosok dunia.

Pemerintah Arab Saudi sememangnya memahami tanggungjawab berat tersebut sebab itulah dari semasa ke semasa pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan jemaah haji dapat melaksanakan ibadah tersebut setiap tahun tanpa masalah.

Kesimpulannya, dengan ber­kumpulnya umat Islam di Arafah maka ini sekali lagi membuktikan kejayaan dan keupayaan peme­rintah Arab Saudi menguruskan pelaksanaan ibadah haji.– utusan