Seorang peguam, Geoffrey Ro­bertson berkata, dengan mengadakan perbicaraan di mahkamah di negara yang mana rakyatnya terbunuh dalam tragedi berkenaan, langkah itu mungkin menjadi penyelesaian munasabah dengan Australia menjadi pilihan kerana mempunyai kes yang kuat.

“Saya percaya, ini akan memberi keadilan kepada 38 warga Australia yang turut terbunuh dalam insiden itu,” katanya sebagaimana dilaporkan portal abc.net.au.

Satu suruhanjaya antarabangsa yang menyiasat nahas MH17 dijang­ka mendedahkan siapakah dalang-dalang yang mengakibatkan 298 orang penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan terbunuh, dalam tempoh enam bulan lagi.

Rusia dijangka menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menghalang perbi­caraan diadakan di ICC.

Selain itu, undang-undang Australia turut membenarkan kes melibatkan pembunuhan rak­yatnya di luar negara diadakan di negara ini selepas insiden pengeboman Bali pada 2002.

Robertson pada masa sama menjelaskan bahawa Rusia mungkin lebih yakin dengan perbicaraan buat rakyatnya diadakan mengikut sistem perunda­ng­an Australia.

“Hal demikian kerana hakim di negara ini dipandang tinggi dalam melak­sanakan kebebasan dan keadilan,” katanya.

Selain itu, Rusia akan diberikan peluang untuk memfailkan pembelaan mereka terhadap individu yang bakal didakwa menembak jatuh jet penumpang berkenaan.

“Dakwaan Rusia bahawa MH17 ditembak jatuh oleh tentera Ukraine akan dikemukakan dan secara adil dinyatakan dalam hujah pembelaan suspek,” katanya.