Penyiasatan antarabangsa bersama telah memutuskan bahawa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh pelancar peluru berpandu darat ke udara BUK buatan Rusia dari wilayah pemberontak, tetapi siasatan jenayah yang berasingan belum menangkap sebarang suspek.

Kini negara-negara yang mengetuai pasukan penyiasatan bersama (JIT) melibatkan Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine telah bersetuju bahawa sebarang perbicaraan akan dilakukan dalam sistem perundangan Belanda.

Ukraine dan Belanda juga akan menandatangani perjanjian pada Jumaat ini untuk membolehkan pendakwaan jenayah dipindahkan ke mahkamah Belanda.

“Negara-negara terlibat memutuskan bahawa suspek harus didakwa di Belanda, suatu proses yang akan berakar pada kerjasama dan dukungan antarabangsa yang sedang berjalan.

“Kerjasama ini penting berdasarkan kerumitan kes memandangkan timur Ukraine adalah zon konflik dan medan pertempuran yang masih sukar dicapai. Siasatan juga dihalang oleh banyak maklumat salah dan percubaan untuk mencemarkan penyiasatan,” kata Menteri Luar Belanda, Bert Koenders dalam satu kenyataan.

Pendakwa raya Belanda, yang mengetuai siasatan jenayah kes tersebut telah meminta kerajaan negara itu untuk menjelaskan rangka kerja undang-undang bagi meneruskan pendakwaan dalam kes itu.

Kira-kira 100 orang dilaporkan telah disiasat kerana memainkan peranan aktif dalam insiden itu dan pihak pendakwa raya Belanda telah menyiarkan nama dua individu yang mempunyai kaitan dengan tragedi tersebut selepas laporan siasatan mendapati pesawat itu ditembak jatuh menggunakan sistem pertahanan yang dibawa dari Rusia.

Berdasarkan kenyataan yang disiarkan oleh laman web polis Belanda minggu lalu, dua individu itu merupakan lelaki yang boleh berbahasa Rusia, digelar sebagai Orion dan Delfin tetapi nama sebenarnya adalah Andrey Ivanovich dan Nikolay Fiodorovich. - AFP