Sandiaga Salahuddin Uno atau Sandiaga Uno juga dilihat tidak lelah dalam menyampaikan visi dan misi dengan mendekati rakyat lebih rapat.

Beliau yang meninggalkan jawatannya sebagai Timbalan Gabenor Jakarta kerap bertindak unik. Kata-kata yang dilontarkan olehnya juga berulang kali menjadi topik perbinca­ngan di internet.

Agensi berita VIVA me­nemu bual Sandiaga bagi mengorek strategi beliau dalam menghadapi pilihan raya tersebut.

VIVA: Terdapat beberapa tinjauan mengeluarkan data kebarangkalian memilih Prabowo Subianto dan Sandiaga yang terus meningkat. Bahkan marginnya semakin tipis dengan pasangan calon nombor satu. Bagaimana tanggapan anda?

SANDIAGA: Pertamanya, kami selalu mempunyai komitmen untuk sering merujuk kepada tinjauan dalaman yang menjadi tesis kepada proses demokratik yang dilakukan sejak awal di pilihan raya Gabenor (Pilgub).

Strategi yang sama kami gunakan dengan Prabowo (calon Presiden) di Pilpres. Kami memerlukan pengumpulan data yang dipegang sebagai landasan untuk mewujudkan strategi.

Pada pendapat anda, apakah yang membuatkan peratusan tinjauan kedua itu meningkat?

Tentunya mesej kami tentang penambahbaikan ekonomi yang konsisten. Jika komuniti sudah menemukan kesejahteraan, sekiranya komuniti merasakan tahap ekonomi ini sudah bagus dalam tempoh empat atau lima tahun terakhir, sudah tentunya mereka mahu membuat pilihan.

Tetapi jika mereka inginkan suatu perubahan dalam peluang pekerjaan yang lebih terbuka, kestabilan harga barangan, kos sara hidup yang lebih rendah dan mahukan pemerintahan telus yang fokus berjuang bersama rakyat meningkatkan taraf hidup, kami menawarkan alternatif Indonesia adil makmur di bawah Prabowo-Sandiaga.

Setakat ini, apakah pe­ranan parti politik sokongan Prabowo-Sandiaga?

Parti politik sekarang sudah memasuki peringkat ketiga dan dalam tempoh 75 hari akan datang, mungkin bulan depan, mereka akan memasuki peringkat keempat.

Kami mempunyai gerakan politik. Bermesyu­arat dan kelmarin PKS berbincang, saya baru mendapat penjelasan ringkas daripada Habib Salim (Ketua Majlis Syura PKS).

Mereka sudah mendapatkan formula tentang bagaimana calon legislatif boleh bekerjasama antara pemilihan legislatif (Pileg) dan Pilpres. Saya juga mendapati wujudnya semangat baharu pada diri orang ramai dan hampir setiap kunjungan saya, mereka memberikan sumbangan.

Apa yang membezakan Capres 01 (Joko Widodo) dan 02 (Prabowo)?

Selepas kami menganalisis, kami mula melihat perbezaan antara Prabowo-Sandiaga dan tentunya Jokowi-Ma’ruf Amin (calon Naib Presiden). Dalam usaha kami memberikan perbezaan yang jelas kepada masyarakat, kami jelaskan kepada mereka di mana letaknya perbezaan itu.

Kini perkara itu dianggap sebagai kritikan bagi kami. Bukan kritikan tetapi sebahagian daripada proses demokrasi, proses daripada politik. Kami sampaikan kepada orang ramai, itulah perbezaan kami.

Pertama, misalnya Prabowo-Sandiaga terpilih, kami tidak mengimport barangan pertanian kerana ketika ini, import berkenaan menjejaskan golongan petani. Masa depan pembangunan infrastruktur di bawah Prabowo-Sandiaga akan menjadi lebih aktif tetapi kami akan menggunakan kerjasama awam-swasta, kerjasama kerajaan serta entiti perniagaan.

Dan, pada pandangan kami itu membantu masyarakat membuat pilihan.

Terakhir, harapan anda de­ngan Pilpres 2019?

Bagi saya, siapapun yang akan menjadi Presiden dan Naib Presiden itu sudah menjadi ketentuan Allah. Kita sebagai satu bangsa tentunya harus menghormati proses demokrasi dan tidak perlu saling berpecah.

Kita berikhtiar, tetapi tidak perlu saling menjatuhkan.

Kita mengutamakan ukhuwah sebagai satu bangsa dan tetapkan fokus kita adalah penambahbaikan, perubahan dalam bidang ekonomi.

Kerana, jika ekonomi sekarang diteruskan, golongan yang kaya makin kaya dan yang miskin makin miskin, peluang pekerjaan tidak diwujudkan. Peluang itu akan wujud pada 17 April ini. Saya memohon kepada seluruh masyarakat untuk menggunakan hak mengundi dan tentunya apa yang kita harapkan adalah Pemilu yang aman, tenang, walau apapun keputusannya.