Jurucakap tentera Thai, Sansern Kaewkamnerd berkata, kedua-dua pihak bertempur menggunakan roket pelancar jarak dekat dan senjata api selama 30 minit berdekatan kuil Hindu kurun ke-11 yang terletak di kawasan hutan dituntut kedua-dua negara itu.

''Kami cuba membendungnya ke kawasan kecil sahaja,'' katanya sambil menyifatkannya sebagai satu 'salah faham'.

Jurucakap kerajaan Kemboja, Phay Siphan berkata, jet pejuang Thai melancarkan serangan ke atas kawasan jajahan Kemboja berdekatan kuil tersebut.

Kedua-dua negara jiran itu bertempur di satu lagi kawasan sempadan berdekatan kuil kurun ke-12, Ta Moan dan Ta Krabey mengakibatkan kematian 13 orang sejak Jumaat lalu dan lebih 50,000 dipindahkan.

Thailand menggesa satu penyelesaian dua hala dalam konflik itu tetapi Kemboja hari ini menolak sebarang rundingan sehingga Persidangan ASEAN bermula 7 Mei ini di Jakarta.

Menteri Penerangan Kemboja, Khieu Kanharith berkata, pihaknya akan menunggu sehingga persidangan itu untuk mengadakan perbincangan.

''Pertemuan itu boleh dilakukan secara dua hala dan jika rundingan berhubung sempadan tidak mencapai kejayaan, pihak ketiga akan diperlukan,'' ujarnya.

Walaupun pada permukaan konflik, ia kelihatan perebutan mengenai kedaulatan dan kawasan namun banyak pakar percayai pertempuran itu didalangi kepentingan politik kedua-dua pihak. - Reuters