Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, tindakan itu perlu dihentikan bagi meredakan kedua-dua pemimpin yang keras kepala itu.

“Betul kita tidak boleh hanya melihat dan menerima tindakan ketenteraan nuklear Korea Utara tetapi kita juga tidak boleh mencetuskan perang di Semenanjung Korea,” katanya.

Untuk itu beliau menggesa kepada proses politik yang me­rupakan perkara utama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor portal BBC.

“Bersama-sama China kita akan meneruskan usaha mencari pendekatan yang terbaik dan bukan secara emosi seperti kanak-kanak tadika yang memulakan pergaduhan dan tiada siapa yang boleh menghentikannya,” katanya.

Sebelum ini Jong-un menggelar Trump sebagai ‘gila’ dan ‘nyanyuk’ selepas pemimpin AS itu mengugut akan memusnahkan Korea Utara.

Trump kemudian membalas melalui Twitter dengan menggelar Jong-un sebagai ‘orang gila’ dan akan menerima ujian yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sementara itu China bertindak mengehadkan bekalan minyak dan akan menghentikan pembe­lian tekstil dari Korea Utara.

Menurut kenyataan Kemente­rian Perdagangan China, lara­ngan terhadap produk petroleum yang ditapis akan berkuat kuasa 1 Oktober ini manakala bagi gas asli cair, larangan berkuat kuasa serta-merta.

Namun Korea Utara akan te­rus menerima bahan mentah itu de­ngan jumlah terhad yang dibenarkan di bawah resolusi PBB tetapi jumlahnya masih belum ditetapkan.

China merupakan rakan perdagangan paling penting bagi Korea Utara dan tindakan itu bakal menjejaskan ekonomi Pyongyang.