Jumlah tersebut didedahkan pemimpin Perancis itu, semalam yang merupakan persetujuan Perancis terhadap cadangan Eropah untuk menempatkan kira-kira 120,000 lagi pelarian.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker dijangka mengumumkan cadangan baharu itu esok.

Pegawai-pegawai Kesatuan Ero­pah (EU) berkata, Juncker akan mencadangkan untuk menambah 120,000 pelarian bagi ditempatkan semula, tambahan daripada sekumpulan 40,000 pelarian yang dicadangkan suruhanjaya berke­naan sebelum ini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban memberitahu satu perhimpunan duta asing semalam bahawa pelan itu tidak seharusnya dibincangkan ketika sempadan EU masih tidak selamat.

“Masalah kita adalah masa. Selagi kita tidak dapat mempertahankan sempadan Eropah, adalah tidak sesuai untuk memperkatakan tentang berapa banyak orang pelarian yang kita akan ambil.

“Apakah yang diselesaikan sekiranya kita membahagikan 100,000 orang, manakala pada masa yang sama jutaan lagi yang datang?,’’ tanya Orban sebagaimana dilaporkan portal al-Jazeera.

Orban sebaliknya mahu EU menyediakan dana kepada Turki bagi memastikan pelarian terus berada di negara itu, sambil mendakwa pelarian datang ke rantau berkenaan hanya untuk menagut keuntungan.

“Sekiranya mereka mahu meneruskan perjalanan dari Hungary, ini bukanlah kerana mereka berada dalam bahaya, sebaliknya mereka mahu melakukan sesuatu yang lain,’’ katanya, sambil menambah kata, pelarian itu mahukan `merampas kehidupan rakyat Jerman’ dan bukannya keselamatan fizikal.

Tanpa diperiksa, kata Orban, kemasukan pelarian akan mengakibatkan negara-negara Eropah menanggung beban kewangan, sekali gus membahayakan status benua itu sebagai negara kebajikan Kristian.

Rancangan Eropah itu disokong oleh negara-negara lain termasuk Jerman. Austria dan Sweden, sementara negara bekas Blok Timur seperti Hungary enggan menerima kebanjiran pelarian yang kebanyakan mereka penduduk Islam.