Pada akhir bulan Mei, kapal perang Perancis Dixmude dan sebuah kapal frigat berlayar melalui Kepulauan Spratly dan kawasan terumbu yang diubah menjadi sebuah pulau kecil China untuk menolak tuntutan Beijing yang mahu menguasai sebahagian besar Laut China Selatan dikatakan kaya de­ngan sumber alam.

“Kami meronda hampir dengan pulau-pulau kecil ini untuk mendapatkan maklumat risikan menggunakan semua peranti yang ada di perairan antarabangsa,” kata pegawai komander Dixmude, Jean Porcher, kepada wartawan dalam temu bual video.

Porcher berkata, kapalnya mengekalkan hubungan radio “mesra” dengan kapal tentera China yang hadir di kawasan itu sehinggalah kapal perang Perancis beredar.

Sehingga kini Amerika Syarikat (AS) mengetuai usaha menentang tuntutan China terhadap wilayah di Laut China Selatan yang turut melibatkan beberapa negara jiran terutamanya Vietnam.

Perancis, selain Britain adalah satu-satunya negara Eropah yang secara berkala menghantar angkatan laut ke rantau itu dengan menghantar kapalnya ke Laut China Selatan sebanyak tiga hingga lima kali setahun.

Sementara itu, portal berita CNN berkata, sistem peluru berpandu China dilaporkan muncul semula di pulau yang dipertikaikan di Laut China Selatan, beberapa hari selepas imej satelit menunjukkan senjata itu telah dikeluarkan dari kawasan ber­kenaan.

ImageSat International (ISI) pada awal bulan Jun mengeluarkan imej menunjukkan kawasan di mana senjata itu ditempatkan sebelum ini bertukar menjadi ta­nah lapang.

Bagaimanapun analisis risikan baharu yang dikeluarkan semalam, organisasi itu berkata, senjata berkenaan muncul semula di Pulau Woody di rantaian pulau Paracel.

ISI berkata, kemungkinan senjata itu hanya dipindahkan ke pulau lain sebagai sebahagian daripada latihan ketenteraan. – AFP