Demikian ‘cakap-cakap’ warga Perancis yang berlegar di media sosial terhadap pengumuman Presiden Emmanuel Macron mengenai pembaharuan ekonomi negara susulan siri tunjuk perasaan secara besar-besaran oleh anggota ves kuning yang bertukar kepada insiden keganasan di negara ini.

RT News melaporkan, selepas empat minggu ‘dilanda’ siri tunjuk perasaan tersebut, Macron dalam ucaptamanya mengakui bahawa ekonomi negara k ini dalam keadaan darurat.

“Hari ini, saya ingin umumkan bahawa Perancis sedang mengalami darurat ekonomi dan meminta semua pihak supaya memberi sokongan bagi memulihkan ekonomi negara.

“Tiada alasan untuk segala kemarahan dan keganasan yang berlaku sebelum ini,” tegasnya dalam ucapan tersebut biarpun mengakui rakyat mempunyai hak untuk menzahirkan rasa tidak puas hati mereka.

Selain itu, Macron mengumumkan kenaikan gaji minimum sebanyak 100 euro (RM475) bagi setiap bulan bermula Mei 2019.

Beliau turut berikrar untuk membatalkan cukai terhadap bayaran kerja lebih masa dan memperkenalkan satu penge­cualian cukai khas untuk penduduk yang berpendapatan kurang daripada 2,000 euro (RM9,504) setiap bulan.

Macron yang dikritik kerana bersikap berat sebelah terhadap golongan berpendapatan rendah di negara ini mengumumkan bahawa beliau sudah mengarahkan Perdana Menteri, Edouard Phillipe untuk menyediakan satu usul yang membenarkan ‘pengusaha dan golongan kaya menyumbang’ kepada program pembangunan ekonomi negara.

Pada tahun lalu, Macron membatalkan Solidariti Cukai ke atas Kesihatan (ISF) yang menyaksikan semua penduduk Perancis yang memiliki aset melebihi 1.3 juta euro (RM6.2 juta) untuk membayar cukai tambahan.

Langkah itu mencetuskan rasa tidak puas hati kepada pelbagai pihak termasuk parti pembangkang.

Dalam ucapannya semalam, Macron masih mempertahankan keputusannya berhubung isu berkenaan dengan mene­gaskan cukai kekayaan tidak banyak membantu negara ini.

Beliau juga menuduh barisan pemimpin Perancis sebelum ini gagal mengatasi masalah yang berlaku.

Jelasnya, kualiti kehidupan penduduk Perancis sudah merosot selama kira-kira 40 tahun susulan peningkatan jurang pendapatan yang akhir­nya mengheret masyarakat ke jalanan bagi meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan.

“Kami akan melihat semua keperluan ekonomi dan sosial di negara ini dengan mengambil langkah-langkah kukuh, termasuk mengurangkan cukai pada kadar segera dan mengawal perbelanjaan, namun bukan melalui ‘u-turn’,” jelasnya.

Bagaimanapun, jaminan Macron itu tidak mendapat sambutan rakyat negara ini yang menyifatkannya sebagai buang masa dan tidak membawa sebarang perubahan, selain hanya menyebabkan kea­daan menjadi semakin teruk.

Seorang pengguna Twitter menulis: “Selama 13 minit, Macron hanya membuang masa tanpa mengumumkan sebarang reformasi ekonomi.”