“Sejak beberapa minggu lalu pasukan penyiasat sudah menjalankan siasatan ke atas rangka pesawat tersebut termasuk ujian ke atas kesan retakan, mekanisme kegagalan dan paten hentaman.

“Dalam masa terdekat pasukan berkenaan akan memulakan kerja-kerja membina semula bahagian pesawat secara tiga dimensi di Pangkalan Tentera Udara Belanda di mana rangka pesawat itu disimpan,” kata Lembaga Keselamatan Belanda dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut lembaga itu, keluarga mangsa akan dibenarkan melihat hasil siasatan dan pembinaan se­mula pesawat berkenaan pada bulan depan.

Pesawat jenis Boeing 777 itu ditembak jatuh ketika dalam perjalanan ke Amsterdam dari Kuala Lumpur dengan membawa 298 orang penumpang dan anak kapal ketika melalui kawasan konflik di timur Ukraine yang melibatkan tntera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Rusia.

Beberapa bahagian pesawat itu dipindahkan ke Belanda pada tahun lalu bagi menjaga keselamatan pegawai penyiasat selepas lokasi nahas secara berterusan menjadi medan pertempuran.

Amerika Syarikat (AS) mendakwa pesawat MH17 ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak menggunakan peluru berpandu, manakala Rusia berkata, pasukan keselamatan Ukraine menembak jatuh pesawat itu dari udara.

Dalam laporan awal, hasil ujian yang dijalankan pasukan penyiasat Belanda mendapati pesawat MH17 terhempas selepas ‘dihentam’ oleh objek berkelajuan tinggi yang dipercayai dilancarkan dari darat. – REUTERS