Suspek dikenal pasti sebagai Omar Ismail Mostefai, 29, yang didakwa mempunyai hubungan de­ngan kumpulan bersenjata tetapi tidak pernah dikaitkan dengan sebarang tindakan keganasan.

Dalam serangan berdarah di dewan konsert itu, Omar melepaskan tembakan rambang mengakibatkan 82 orang maut sebelum dia ditembak mati oleh pihak keselamatan Perancis.

Menurut laporan portal Al Jazeera, polis mempunyai rekod yang menunjukkan penglibatan Omar dalam kegiatan kumpulan bersenjata.

Sebelum itu, polis menahan enam orang termasuk bapa dan abang penyerang di rumah masing-masing di pekan Romilly-sur-Seine, timur Paris dan wilayah Essone, selatan Paris bagi membantu siasatan.

Jelas laporan tersebut, pihak berkuasa Perancis percaya sera­ngan di Paris dirancang di luar negara oleh militan IS di Iraq dan identiti penyerang lain masih lagi disiasat.

“Pasukan penyiasat di Perancis, Belgium, Greece dan Jerman turut bekerjasama untuk mengenalpasti identiti tujuh lagi penyerang dan kemungkinan suspek lain yang terlibat.

“Kesemua penyerang bergerak dalam tiga pasukan untuk melancarkan serangan terancang di ibu negara ini, semalam yang menyaksikan 153 orang terbunuh dan kira-kira 200 lagi cedera,” tambah laporan berkenaan.

Di Belgium, beberapa suspek ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan berdarah di Paris susulan penemuan sebuah kereta jenis Volkswagen Polo berdekatan satu daripada lokasi kejadian.

Polis percaya kereta yang disewa di Belgium itu mempunyai kaitan dengan serangan selepas beberapa saksi mendakwa penyerang tiba di lokasi kejadian menaiki kereta yang menggunakan nombor pendaftaran negara tersebut.

Dalam perkembangan sama, pi­hak berkuasa Jerman menyiasat kemungkinan penahanan seorang lelaki dari Montenegro pada 5 November lalu mempunyai kaitan dengan serangan di Perancis selepas polis menemukan sejumlah bahan letupan, senapang dan pistol dalam kenderaan yang dipandunya.

Lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai menuju ke Paris berdasarkan alamat yang tertera pada sistem pemanduan yang terdapat dalam kenderaannya. – AFP