Pegawai yang mengetuai operasi itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Aek Angsananint mengaku berpuluh-puluh suspek masih bebas.

“Kes berkenaan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara petang ini untuk pendakwaan ke atas mereka yang terbabit.

“Kami telah bekerja keras dan yakin dengan bukti yang dikumpul. Kami boleh mengesahkan bahawa sindiket penyeludupan ini telah berjaya dibanteras,’’ katanya.

Aek berkata, sebanyak 120 waran tangkap telah dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan pada awal Mei lalu termasuk 30 yang dikeluarkan oleh mahkamah di selatan Thailand, semalam.

Beliau enggan mengulas sama ada 30 waran tangkap terbaharu itu melibatkan kakitangan kerajaan atau pegawai tentera.

Aek berkata, empat rakyat asing kini dijejaki tetapi beliau enggan mendedahkan kerakyatan mereka.

Setakat ini, sebanyak 56 suspek telah ditahan, manakala 64 yang masih bebas.

Antara yang ditahan adalah pegawai kanan tentera yang didakwa menjadi raja penyeludupan, Lef­tenan Jeneral Manas Kongpan. – AFP