Portal Mail Online melaporkan, para saintis mengesahkan bahan graphene pada labah-labah membolehkan haiwan tersebut menghasilkan sarang lebih kuat bagi menampung beban berat seorang manusia.

Graphene adalah bahan diperbuat daripada atom karbon yang digabungkan dengan kekisi heksagon.

Sekumpulan saintis di Universiti Trento, Itali mencampurkan graphene dan karbon nanotiub ke dalam air serta memberinya kepada sekumpulan labah-labah.

Mereka kemudiannya mendapati bahan tersebut mampu membuatkan labah-labah ber­kenaan menghasilkan sarang lima kali lebih kuat daripada biasa.

Para penyelidik menjelaskan kaedah untuk meletakkan bahan-bahan berkenaan ke dalam bekalan air labah-labah itu adalah bagi memanipulasi proses metabolisme semula jadi mereka.

“Kami sudah mengetahui terdapat biomineral di dalam protein dan serat tisu pada labah-labah, sekali gus memberikan mereka kekuatan menakjubkan serta rahang dan gigi yang keras.

“Oleh itu, kami cuba mengkaji sama ada sifat sarang labah-labah boleh dipertingkatkan dengan menggunakan bahan nano yang berbeza ke dalam struktur protein biologi haiwan terbabit,” kata ketua penulis kajian terbabit, Dr. Nicola Pugno.