Demikian perang ‘psiko­logi’ membabitkan Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) apabila kedua-dua pihak saling berbalas ‘ancaman’ antara satu sama lain.

Baru-baru ini, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un me­negaskan AS merupakan ‘sarang kejahatan’ yang perlu dihapuskan daripada muka bumi ini.

Penegasan itu muncul susulan kejayaan Korea Utara me­lancarkan ujian peluru berpandu Hwasong-12 untuk membawa kepala peledak nuklear yang lebih besar dan berat di satu lokasi yang tidak dinyatakan.

Menurut agensi berita KCNA, Hwasong-12 mampu mencapai altitud setinggi 2,000 kilometer dan mencapai jarak sasaran sejauh 787 kilometer.

Walau bagaimanapun, menjawab segala bentuk ‘ancaman’ berkenaan, Setiausaha Pertahanan AS, James Mattis dalam sidang akhbar di Pentagon memberitahu, sebarang penyelesaian ketenteraan yang diambil dalam krisis Korea Utara adalah ‘satu tragedi’.

Beliau berkata, Washington kini berusaha pada peringkat antarabangsa untuk mencari satu penyelesaian diplomatik.

“Kami akan terus berusaha. Jika tiba masanya satu penyelesaian­ ketenteraan diambil, ini akan menjadi satu tragedi pada skala yang sukar dipercayai. Jadi usaha kami untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), China, Jepun dan Korea Selatan dalam mencari jalan keluar daripada situasi ini,” katanya.

Kenyataan itu memberi petunjuk pentadbiran Presiden AS, Donald Trump akan mencuba semua pilihan sebelum menggunakan tindakan ketenteraan terhadap Pyongyang.

Korea Utara berulang kali tidak menghiraukan desakan untuk menghentikan program nuklear dan peluru berpandu termasuk daripada sekutunya, China.

AS mempunyai 28,500 askar di Korea Selatan bagi mengawal ancaman Pyongyang dan menggesa China lebih berusaha untuk mengawal negara jirannya itu.

Mattis kelihatan mempertahankan usaha terbaharu China walaupun pada masa sama me­ngakui Pyongyang tidak mempedulikan desakan berkenaan.

“Korea Utara jelas tidak menghiraukan semua desakan tetapi kita dapat melihat kesan usaha China di sini. Usaha itu tidak sempurna apabila Pyongyang melancarkan peluru berpandu baru-baru ini,” ujarnya.

Seoul berkata, pembangunan program peluru berpandu lebih cepat daripada dijangkakan dengan ujian pada minggu lepas dilihat berjaya.

Dalam perkembangan ber­kait­an, The Sun melaporkan, Ten­tera Laut AS mengge­rak­kan ke­dudukan sebuah lagi ka­pal pe­ngangkut pesawat pe­rang, USS Ro­nald Reagan ke Semenanjung Korea bagi berdepan sebarang kemungkinan.

USS Ronald Reagan yang membawa 4,500 anak kapal dan pesawat pejuang akan menyertai USS Carl Vinson yang dikatakan telah diletakkan di perairan berkenaan.

Pengumuman mengenai ke­dudukan USS Ronald Reagan oleh Armada Pasifik AS itu susulan amaran Jong-un kepada rak­yat Korea Utara supaya ‘mempersiapkan diri’. – REUTERS/AGENSI