Kira-kira 22 mangsa masih hilang di bandar Atsuma, utara Jepun ekoran tanah runtuh di kaki bukit yang menimbuskan banyak rumah selepas kejadian gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Ricther itu.

Seorang anggota Pasukan Pertahanan Jepun (SDF) memberitahu, pihaknya dimaklumkan terdapat mangsa yang terperangkap dalam lumpur.

“Kami berusaha mencari mang­sa tanpa henti tetapi menghadapi kesukaran untuk menyelamatkan mereka. Walau bagaimanapun langkah sedang diambil untuk mencari mangsa secepat mungkin,” katanya.

Seorang warga emas wanita di bandar itu memberitahu stesen televisyen NHK, ahli keluarganya masih belum ditemukan dan dipercayai tertimbus dalam lumpur.

“Saya tidak dapat tidur sepanjang malam malah beberapa gempa bumi susulan berlaku menyebabkan keadaan tidak tenang,” katanya.

Kira-kira 1.6 juta rumah di kawasan utara Hokkaido masih terputus bekalan elektrik selepas gempa bumi merosakkan loji termal yang menyalurkan elektrik ke seluruh wilayah itu.

Menteri Perindustrian, Hiroshige Seko berkata, bekalan elektrik akan disalurkan secara berperingkat-peringkat sekali gus mengurangkan jumlah tersebut kepada 500,000 rumah.

“Bekalan elektrik dijangka pulih dalam tempoh seminggu bagi menunggu loji berkenaan beroperasi. Sepanjang tempoh tersebut kami akan menghantar penjana tenaga kepada hospital-hospital,” katanya.

Kira-kira 22,000 petugas penyelamat termasuk anggota tentera dikerah dari SDF untuk menghantar bekalan air dan pada masa yang sama orang ramai beratur panjang di stesen-stesen minyak dan pasar raya untuk membeli stok makanan kerana bimbang berlaku gempa bumi susulan.

Perdana Menteri, Shinzo Abe mengarahkan pihak bertanggungjawab memulihkan bekalan elektrik secepat mungkin bagi meredakan ketakutan penduduk terlibat.

Gempa bumi itu yang mencapai tahap maksimum pada skala ukuran Jepun turut menyebabkan banyak rumah dan dinding bangunan runtuh di bandar Sapporo.

Walaupun gempa bumi itu dikategorikan kuat namun jumlah kematian masih dianggap kecil dengan majo­riti mangsa terkorban akibat tanah runtuh di Atsuma.

Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan tren laju sudah mulai beroperasi secara berperingkat-peringkat hari ini dan sebahagian operasi di lapangan terbang utama di Sapporo telah bermula selepas ba­nyak penerbangan dibatalkan.

Toshiyuki Matsumori yang bertanggungjawab memantau gempa bumi dan tsunami di agensi meteo­rologi memberi amaran berlakunya gempa bumi baharu dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Gempa bumi kuat lazimnya akan berlaku terutama dalam tempoh dua atau tiga hari,” katanya.

Jelasnya, risiko bangunan dan rumah runtuh adalah tinggi sekali gus menggesa penduduk untuk memberi perhatian terhadap aktiviti seismik dan hujan serta tidak berada di tempat berisiko. – AFP