Sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan, ini merupakan kali pertama kedua-dua negara mengadakan perbincangan di peringkat tertinggi sejak lebih dua tahun lalu.

Selain itu, persetujuan berke­naan menandakan hubungan antara kedua-dua pihak mulai baik sejak Korea Utara menawarkan untuk menghantar pasukannya bertanding pada acara sukan berkenaan.

Malah, mereka juga sepakat untuk membentuk satu pasukan hoki ais wanita secara bersama selepas perkara itu dipersetujui dalam satu rundingan di Panmunjom, sebuah perkampungan yang terletak di Zon Bebas Tentera bersempadan dengan kedua-dua negara.

Jika direalisasikan, ratusan de­legasi atlet Korea Utara yang kuat - termasuklah 230 pasukan sorak, 140 pemuzik orkestra dan 30 atlet taekwando boleh memasuki Korea Selatan menerusi laluan sempadan bagi mengha­diri Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Ini bermakna pembukaan jalan rentas sempadan untuk pertama kalinya dalam tempoh hampir dua tahun.

Sementara itu, Korea Utara tu­rut bersetuju menghantar dele­gasi atlet seramai 150 orang ke acara sukan Paralimpik pada Mac kelak.

Dalam pada itu, Korea Selatan juga perlu mencari jalan untuk menjadi tuan rumah delegasi Korea Utara tanpa melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengharamkan pemindahan wang tunai ke Pyongyang dan menyenaraihitamkan beberapa pegawai kanan negara tersebut.

Walau bagaimanapun, juru­latih hoki Korea Selatan dan akh­bar konservatif tempatan telah menyatakan keprihatinan tentang prospek pasukan hoki bersatu, mengatakan apa yang dilakukan boleh merosakkan peluang Korea Selatan untuk memenangi pingat.

Beribu-ribu orang juga dikatakan telah menandatangani pe­tisyen atas talian mendesak Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in untuk membatalkan rancangan itu.

Tetapi Jae-in memberitahu atlet Olimpik Korea Selatan baru-baru ini bahawa penyertaan Korea Utara dalam acara sukan terbabit bakal membantu me­ningkatkan hubungan antara ke­dua-dua pihak.

Malah, Jepun juga melihat perancangan yang termeterai antara kedua-dua negara itu adalah meragukan dan Menteri Luar­nya, Taro Kono berkata, dunia tidak seharusnya dibutakan dengan tindakan terbaharu Pyongyang itu.

“Ini bukanlah masa untuk me­ngurangkan desakan atau memuji Korea Utara. Fakta bahawa Korea Uta­ra terlibat dalam dialog tersebut bo­leh dianggap sebagai bukti sekatan itu masih berjalan,” kata Kono kepada agensi berita Reuters baru-baru ini.

Peristiwa yang berlaku ini memberikan satu harapan ketika krisis antara kedua-dua pihak yang sebe­lum ini dilihat ha­nya mencetuskan ketegangan di Semenanjung Korea.

Tetapi adakah perancangan ber­kenaan me­legakan seketika ketegangan antara pe­mimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sebelum ini sering bertelagah?

Atau adakah perkara itu benar-benar menawarkan platform untuk laluan diplomatik terhadap krisis antara kedua-dua pihak?

Perbincangan yang membawa kepada perjanjian terbabit hadir setelah ketegangan di Semenanjung Korea mencapai tahap ter­tinggi dalam tempoh beberapa dekad.

Hal demikian kerana Korea Utara telah membangunkan program senjata nuklear dan konvensional dengan lebih pesat sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini.

Ujian peluru berpandu balistik terkini yang dilancarkan pada 28 November lalu, mencetuskan sekatan baharu daripada PBB yang menyasarkan penghantaran petrol dan perjalanan.

Tidak lama kemudian Kim Jong-un menegaskan, pihaknya ‘terbuka untuk mengadakan dialog’. Dalam ucapan Tahun Baharu, beliau memberitahu sedang mempertimbangkan untuk menghantar pasukan ke Sukan Olimpik Musim Sejuk.

Kemudian pada 9 Januari lalu, kedua-dua negara membuat pe­ngumuman mengenai peranca­ngan tersebut.

Mereka juga bersetuju baha­wa talian bebas ketenteraan an­tara kedua-dua negara yang digantung selama hampir dua tahun, akan dikembalikan semula.

Jae-in telah mengatakan perjanjian Olimpik itu boleh membuka jalan bagi isu nuklear untuk ditangani dan membawa kepada dialog antara Pyongyang dan Washington, menurut agensi berita Yonhap.

Benar seperti yang diperkatakan sebelum ini, sukan mampu menyatukan kedua-dua pi­hak walaupun mereka berbeza ideologi atau berperang. Dunia pasti menantikan adakah ini merupakan permulaan kepada penyatuan antara kedua-dua negara berkenaan atau sebaliknya.