Manakan tidak, masuk minggu kedua bantahan terhadap keputusan Trump itu menyaksikan de­monstrasi dan tunjuk perasaan diadakan hampir setiap hari di semua negara majoriti umat Islam di seluruh dunia.

Setakat Jumaat lalu, sebanyak lapan rakyat Palestin terbunuh sama ada ditembak mahupun di­be­dil tentera rejim Zionis yang cuba menyuraikan bantahan atau memusnahkan kemudahan pergerakan Hamas di Gaza.

Pengumuman itu juga me­ngun­­dang pemimpin Islam yang prihatin akan nasib Palestin apatah lagi keinginan untuk menjaga tempat suci ketiga bagi umat Islam di Baitulmuqaddis, berhimpun di Istanbul, Turki bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Pertubuhan yang dianggotai 57 negara anggota, termasuk Arab Saudi dan Iran itu sebulat suara mengiktiraf Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin dan menggesa masyarakat dunia untuk mengambil tindakan serupa.

Malah, mereka menolak tindakan Trump sebagai tidak sah dari segi undang-undang selain membatalkan peranan AS sebagai penjaga perdamaian di Asia Barat selepas menganggap keputusan Washington hanya menggalakkan keganasan dan ekstremisme di rantau berkenaan.

Seperti dijangka, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam nada angkuh memperlekeh keputusan OIC dengan me­nyatakan tidak peduli dengan Deklarasi Istanbul tersebut dan mendakwa lebih banyak negara akan mengikut jejak Trump dan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

Mungkin ada kebenaran di sebalik kata-kata Netanyahu apabila pemimpin Islam terutamanya dari negara Arab dilihat tidak betul-betul bersatu hati mempertahankan Palestin apabila Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ha­nya menghantar wakil, sekali gus menghantar isyarat bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dengan Iran.

Sebanyak 18 ketua negara termasuk Azerbaijan, Qatar, Afgha­nistan, Indonesia, Bangladesh, Ku­wait, Lebanon, Jordan, Malaysia, Pakistan tidak termasuk negara yang sedang lemah seperti Ye­men, Somalia dan Libya turut hadir ke persidangan tersebut.

Arab Saudi dan sekutunya nyata tidak senang dengan kehadiran Iran, apatah lagi mereka masih ‘perang dingin’ dengan Qatar yang didakwa menyokong keganasan.

Menurut penganalisis Asia Barat, Dr. Ali Bakeer, semasa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ber­ucap dalam persida­ngan itu, te­le­visyen Arab Saudi hanya menunjukkan laporan cuaca dan berita ekonomi.

Kata seorang pemerhati, kesa­tuan dalam isu Palestin sama sekali berbeza semasa insiden kebakaran di Masjid Al-Aqsa pada 1969 yang menjadi pemangkin kepada penubuhan OIC dan kali ini dibuktikan dengan ‘jumlah kehadiran yang rendah’ oleh anggotanya.

Oleh yang demikian, dalam mem­pertahankan Baitulmuqaddis, pe­mimpin Islam khasnya dari ne­gara Arab sepatutnya bersatu hati dengan melupakan perbezaan politik mereka buat seketika supaya tanah suci itu tidak lagi dicemari rejim Zionis sekali gus mengembalikan keamanan dan hak Palestin.

Dalam soal solidariti terhadap Pa­lestin, negara-negara Islam bo­l­eh meniru langkah Turki dan Lebanon yang bercadang untuk membuka kedutaan mereka di Baitulmuqaddis Timur sekali gus menzahirkan rasa gerun Israel da­lam perpaduan negara Islam mempertahankan Baitulmuqaddis.

Pada masa sama, negara-ne­ga­ra Islam perlu menyokong de­­ngan mengundi usaha Turki selaku Pengerusi OIC untuk memba­talkan ke­putusan yang dibuat Trump dengan mengikti­raf Bai­tul­mu­qad­dis sebagai ibu negara Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) walaupun berdepan kuasa veto AS.

Hanya perpaduan dalam ka­langan negara-negara Islam dapat menjadi ‘kunci’ penting bagi mengubah pendirian Trump ter­hadap Baitulmuqaddis yang je­las membelakangkan undang-undang antarabangsa.