Penyanyi itu disahkan meninggal dunia pada pukul 10.07 pagi waktu tempatan (11.07 malam waktu Malaysia) dengan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kematian.

Laman web hiburan TMZ me­laporkan, tujuh hari lalu, pesawat peribadi Prince terpaksa mendarat di Lapangan Terbang Moline di Illinois, selepas penyanyi itu dilapor memerlukan bantuan perubatan segera.

Ketika itu, pengurusan Prince memberitahu, penyanyi tersebut menghidap influenza, namun beberapa sumber mendedahkan, dia sebenarnya menerima suntikan kecemasan bagi mengurangkan kesan ketagihan dadah jenis opiat.

TMZ melaporkan, Prince dinasihatkan berehat di hospital, namun disebabkan tiada bilik kosong, dia mengambil keputusan meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Pejabat Syerif County Carver di Minnesota dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyelamat me­nerima panggilan kecemasan men­yatakan Prince tidak sedarkan diri di dalam sebuah lif di rumahnya.

Cubaan untuk menyelamatkannya gagal dan Prince disahkan me­ninggal dunia.

Pemergian pe­nerima Anugerah Grammy dan Oscar itu disambut ucapan takziah daripada pelbagai pihak termasuk tokoh politik dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.

Obama yang jarang menyentuh hal berkaitan selebriti berkata, industri muzik kehilangan seorang ikon kreatif.

“Mendiang membawa pengaruh besar kepada industri muzik. Bakatnya menyentuh hati kita semua,” katanya.

Sementara itu, peminat menyifatkan berita pemergiannya seperti ‘bunyi merpati menangis’ yang me­rujuk kepada lirik sebuah lagu popular Prince, When Doves Cry. – AFP/AGENSI