Jurucakap Jabatan Negara AS, Heather Nauert berkata, proses penghantaran pulang petugas konsulat dan ahli keluarga mereka dari Guangzhou dilakukan selepas seorang daripada mereka disahkan mempunyai tanda-tanda penyakit misteri yang sama seperti apa yang berlaku terhadap pegawai kerajaan AS di Cuba pada tahun lalu.

“Selepas melakukan proses pemeriksaan, Jabatan Negara AS telah menghantar pulang sejumlah individu untuk dinilai secara teliti berhubung tanda-tanda yang mereka hidapi.

“Pasukan perubatan profesi­onal akan melakukan proses pe­nilai­an secara menyeluruh bertujuan menentukan punca ke­semua tanda yang timbul, termasuk melihat jika keadaan itu sama se­perti apa yang berlaku sebelum ini atau sebaliknya,” katanya.

Akhbar New York Times semalam melaporkan Jabatan Negara AS sudah mengasingkan sekurang-kurangnya dua rakyat negara ini yang jatuh sakit selepas mendengar bunyi pelik di China.

Sebanyak 24 petugas konsulat AS di Cuba serta ahli keluarga mereka menunjukkan tanda-tanda yang serupa iaitu dikaitkan dengan kecederaan otak seperti gegaran.

Sebelum itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa jabatan tersebut pada bulan lalu menubuhkan satu pasukan untuk menyiasat mana-mana insiden berkaitan kesihatan yang tidak dapat dijelaskan. – REUTERS