Lapor portal berita RT, penya­kit Chagas yang selalunya ditemukan di bahagian tengah dan selatan benua Amerika, menjangkiti sekurang-kurangnya lapan juta orang, kini merebak ke AS di 27 buah negeri.

Selain AS, Chagas turut me­rebak ke Sepanyol, Itali, Perancis, Switzerland, United Kingdom, Australia dan Jepun.

Menurut Pertubuhan Jantung Amerika (AHA), para doktor diingat­kan supaya mengenali Chagas dengan lebih mendalam sebelum wabak yang dahsyat itu merebak secara meluas.

“Pengesanan awal penyakit Chagas adalah kritikal, menye­babkan pesakit menjalani ra­watan terapi segera selepas di­buktikan dijangkiti kerana memulihkannya amat sukar,” tulis Caryn Bern, Profesor Epidemiologi dan Biostatistik di University of California di San Francisco.

Jelasnya, doktor dapat mengesan penyakit itu melalui ujian darah dan sekiranya dikesan lebih awal, pesakit dapat dirawat de­ngan segera.

“Jika tidak dirawat, jangkitan adalah sepanjang hayat dan boleh mengancam nyawa,” katanya.

Penyakit Chagas disebabkan oleh parasit yang disebarkan oleh serangga yang menghisap darah yang dipanggil triatomine, juga dikenali sebagai ‘kissing bug’, kerana cenderung menggigit wajah manusia sekitar mulut dan boleh menyebabkan strok dan kegagalan jantung.

Kira-kira 30 peratus yang dijang­kiti Chagas mendapat kom­plikasi mengancam nyawa se­perti penyakit jantung kronik.

Serangga itu kemudian menyebarkan parasit yang dikenali sebagai trypanosoma cruzi dengan mengeluarkan najis pada gigitan dan kemudiannya dipindahkan ke luka terbuka atau mata serta mulut.

Penyakit ini dilabel sebagai pembunuh senyap dengan tanda-tanda termasuk demam, letih, sakit, ruam dan kelenjar bengkak.