Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, penghantaran penuntut tahun pertama jurusan Bahasa Arab dan Kesusasteraan itu sebagai imam solat sunat tarawih dan solat sunat Aidilfitri kali ini merupakan kerjasama antara pihaknya dan Pusat Islam Oxford.

Menurutnya, program tersebut yang bermula pada 12 Mei lalu sehingga semalam turut mendapat kerjasama Felo Pusat Islam Oxford yang juga merupakan Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan Perak, Datuk Dr. Afifi Al-Akiti.

“Muhammad Syazani juga menjadi pembimbing program qiamullail pada 10 malam tera­khir Ramadan di Masjid Pusat Islam universiti tersebut.

“Kecemerlangan dan kredibiliti beliau sebagai imam telah mendapat pujian ramai di Oxford sebagaimana dimaklumkan kepada saya oleh Felo Pusat Islam Oxford kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nordin, ke­cemerlangan yang ditunjukkan itu turut membanggakan Jakim sebagai pihak yang telah memberi peluang kepada anak muda untuk mengasah dan menguji keupayaan dalam bidang hafazan al-Quran.

Katanya, Muhammad Syazani sebelum ini pernah mendapat tempat pertama dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Pe­ringkat Kebangsaan dan tempat kedua dalam pertandingan sama, tahun lalu.

Malah, beliau berkata, Jakim juga memberi peluang kepadanya untuk mewakili Malaysia dalam Pertandingan Hafazan Al-Quran peringkat antarabangsa seperti di Bahrain, Arab Saudi, Lubnan, Indonesia, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait.

“Jakim mengucapkan syabas dan tahniah kepada Muhammad Syazani atas kejayaan beliau.

“Diharapkan program sebegini akan diteruskan lagi pada masa akan datang demi melahirkan lebih ramai generasi al-Quran di bumi tercinta ini,” katanya.