Penuntut terbabit yang juga warga Malaysia, Christine Jia Xin Lee, 21, didakwa membelanjakan wang tersebut untuk membeli beratus-ratus beg tangan berjenama, pakaian dan aksesori selepas dia menyedari bank Australia secara tidak se­ngaja memberinya overdraf tanpa had pada Jun 2014.

Menurut portal berita news.com.au, kesilapan itu hanya disedari oleh pihak bank pada April 2015 setelah Xin Lee didapati memindahkan A$1.15 juta (RM3.57 juta) ke dalam akaun PayPal miliknya menerusi 14 transaksi pada hari yang sama.

Dia kemudian ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney pada 4 Mei tahun lalu ketika ingin menaiki penerbangan ke Malaysia.

Menurut akhbar Brisbane Times, Xin Lee didakwa secara tidak jujur mempe­roleh kelebihan kewangan secara menipu dan de­ngan sengaja berurusan melalui hasil jenayah namun terdapat keraguan bahawa dia mungkin tidak melanggar undang-undang.

The Sydney Morning He­rald melaporkan, pada masa itu, Xin Lee mendakwa me­nyangka wang tersebut dipindahkan oleh ibu bapanya.

Pada April tahun lalu, dia telah mengembalikan barangan termasuk gelang Cartier dan beg tangan jenama Dior dan Hermes yang bernilai A$1 juta (RM3.1 juta) dan pada Mei tahun yang sama Mahkamah Agung membenarkan Westpac me­­rampas aset lain untuk membayar baki A$3.5 juta (RM10.8 juta) yang telah dibelanjakan Xin Lee.

Peguam Xin Lee, Hugo Aston berkata, wanita itu sangat gembira dengan keputusan tersebut dan menyifatkan kes tersebut me­nunjukkan bahawa pihak bank perlu lebih berhati-hati dengan sistem pengurusan akaun mereka.

Jurucakap Westpac ber­kata, pihak bank telah mengambil semua langkah untuk memulihkan dana, termasuk mengambil tindakan sivil.

“Tuduhan jenayah terhadap Xin Lee berada di bawah Timbalan Pendakwa Raya dan polis, dan kami menghormati keputusan mereka,” kata jurucakap itu.