Pengesahan itu dibuat Kementerian Kesihatan dan Agensi Alam Sekitar Kebangsaan susulan pemeriksaan 33 kes yang didapati positif zika lewat malam semalam, melonjakkan jumlah jangkitan berbanding 82 yang dilaporkan semalam.

Seorang wanita tempatan yang mengandung turut disahkan positif zika semalam, kes pertama melibatkan golongan hamil di negara ini.

Buat kali pertama juga hari ini, Singapura mendedahkan kerakyatan pesakit terlibat dengan 57 da­ripada keseluruhan 115 kes membabitkan penduduk asing yang bekerja dan menetap di negara ini.

Jelas Kementerian Kesihatan, me­­reka yang dijangkiti berasal dari tujuh negara termasuk 23 dari China, India (15), Bangladesh (10), Malaysia (6) dan masing-masing satu dari Indonesia, Myanmar dan Taiwan.

Ketika Malaysia mengumumkan kes tempatan Zika yang pertama hari ini, setakat ini sebanyak rakyat rakyat negara itu yang menetap di Singapura disahkan positif jangkitan virus berkenaan.

Portal Channel News Asia melaporkan, satu daripada pesakit merupakan wanita berusia 47 tahun yang tinggal di Aljunied Crescent, kes pertama yang diumumkan pihak berkuasa Singapura, Sabtu lalu.

Ini merupakan kali pertama Singapura mendedahkan kerakyatan pesakit terlibat.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Pengarah Institut Alahan dan Penyakit Berjangkit, Dr. Tony Fauci di Universiti Georgetown, Washington D.C yang dipetik portal NBC News berkata, peningkatan zika di Singapura agak membimbangkan.

“Jumlah kes meningkat daripada 50, 80 dan kini melebihi 100 kes,” kata Fauci semasa taklimat zika di sekolah perundangan universiti tersebut, semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat bagi Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC), Dr. Tom Frieden pula berkata, peningkatan wabak di Singapura mengingatkan betapa sukarnya penyakit itu untuk dikawal.

Katanya, ini kerana Singapura merupakan sebuah negara yang mempunyai sistem kawalan pe­nyakit yang ketat.