Kelewatan itu adalah ekoran perbalahan peruntukan dana untuk pembinaan tembok di sempadan AS-Mexico antara Presiden Donald Trump dan Kongres.

Tanpa tindakan daripada Kongres itu, agensi Persekutuan termasuk Jabatan Pertanian; Jabatan Negara dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri bakal berdepan masalah untuk membayar gaji kakitangan dan pengurusan program selepas berakhirnya tempoh fiskal pada 30 September depan.

Kegagalan berbuat demikian mungkin akan menyebabkan sebahagian besar operasi pentadbiran terpaksa ditutup atau diberhentikan sementara.

Bagaimanapun, jurucakap Kongres memberitahu, pihaknya telah memohon agar tempoh kelulusan itu dilanjutkan dua ming­gu lagi sehingga 21 Disember ini.

Sebelum ini Trump me­nuntut sebanyak AS$5 bilion (RM20.7 bilion) untuk membina tembok di sempadan dengan Mexico bagi menghalang kemasukan imigran.

Bagaimanapun, kos pembinaan tembok itu dilaporkan mencecah lebih AS$25 bilion (RM103.6 bilion).

Trump turut mengancam untuk memaksa penutupan sebahagian agensi kerajaan jika Kongres tidak meluluskan dana membina tembok sempadan ber­kenaan.

Semalam, Trump dalam akaun Twitternya memberitahu: “Kita boleh menjimatkan wang berbilion dolar jika Kong­res membenarkan pembinaan tembok. Pada masa yang sama kita dapat menghalang kemasukan pendatang haram dan dadah ke dalam negara kita. Kita akan menutup keseluruhan sempadan jika perlu.” – REUTERS