AUNG SAN SUU KYI
AUNG SAN SUU KYI

Ini susulan kenyataan Peguam Negara Australia, Christian Porter yang memaklumkan Suu Kyi tidak boleh didakwa di negara ini, ditangkap atau ditahan.

Hal demikian kerana Suu Kyi mempunyai imuniti.

Kelmarin, sekumpulan lima peguam Australia memfailkan permohonan tersebut bagi mendakwa Suu Kyi berhubung layanan kerajaan pimpinannya terhadap etnik Rohingya.

Perkara itu dilakukan sempena kehadiran Suu Kyi ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di sini.

Hampir 700,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh sejak pihak berkuasa Myanmar melancarkan kekejaman yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik.

Salah seorang peguam ber­kenaan, Alison Battison membe­ritahu Sydney Morning Herald bahawa keputusan Peguam Negara itu boleh dirayu.

“Peguam Negara masih belum memberikan maklum balas kepada kami. Apabila beliau memberi maklum balas, kami akan membincangkannya.

“Kami tidak akan melakukannya jika kami tidak fikir kami mempunyai peluang. Itu (kekejaman) ada contoh mengenai jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya.

Menurut Porter, Suu Kyi mempunyai imuniti dan berdasarkan undang-undang antarabangsa, ketua negara, ketua kerajaan dan Menteri Luar mempunyai imuniti daripada prosiding jenayah di luar negara.

Biarpun dianugerahkan hadiah Nobel Keamanan, Suu Kyi mene­rima kecaman hebat pelbagai pihak kerana ‘mengunci mulut’ terhadap kekejaman yang berlaku di negaranya melibatkan etnik Rohingya.

Dalam sidang tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyentuh isu kekejaman terhadap Rohingya yang menegaskan situasi di Rakhine tidak boleh dianggap sebagai isu domestik.

Suu Kyi turut diasak oleh beberapa pemimpin dunia lain termasuk Australia dan Singapura berikutan isu tersebut yang menjadi antara topik utama perbinca­ngan blok serantau itu.

Kedua-dua negara tersebut turut berikrar akan menyokong usaha untuk mencapai penyelesaian jangka panjang bagi menamatkan krisis serta penghantaran bantuan kemanusiaan kepada pelarian.

“Isu kekejaman terhadap pela­rian Rohingya adalah kebimba­ngan ASEAN, namun ASEAN tidak dapat campur tangan dan memaksa sesuatu penyelesaian dengan pantas,” kata Perdana Menteri Si­ngapura, Lee Hsien Loong. – AFP