SAYA merujuk kepada komentar yang diterbitkan di Utusan Malaysia pada 14 Ogos 2017 bertajuk ‘Berubahkah nasib kaum Melayu di Singapura? Presiden sekadar simbolik’.

Dalam surat saya bertarikh 30 Mei 2017 untuk membalas editorial Awang Selamat di Mingguan Malaysia pada 28 Mei 2017 yang bertajuk ‘Presiden Melayu Ke-2?’, saya telah membangkitkan beberapa perkara yang tidak tepat dalam editorial itu.

Saya juga meminta supaya surat itu disiarkan di akhbar untuk memperbetulkan fakta supaya para pembaca Utusan Malaysia mendapat gambaran yang sebenar.

Malangnya, surat saya ti­dak disiarkan atas alasan yang saya tidak faham melainkan untuk menyembunyikan gam­baran yang sebenar daripada para pembaca.

Sebaliknya, pengarang te­lah menyiarkan komentar kedua dengan butir-butir yang juga tidak benar dan memberikan gambaran yang salah tentang Pilihan raya Presi­den Singapura dan beberapa kenya­taan penjawat politik Singapura.

Izinkan saya mengulangi kenyataan saya. Bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam komentar itu, Presiden Singapura dipilih berdasarkan mandat pemilihan ramai dan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan negara dan memastikan tadbir urus yang baik, termasuk (i) sebagai simbol dan penyatu masyarakat Singapura yang berbilang kaum, (ii), sebagai penjaga rizab negara dan (iii), sebagai pelindung integriti perkhidmatan awam.

Pastinya saya yakin Utusan Malaysia juga akan bersetuju bahawa semua ini adalah rukun-rukun penting yang harus dilindungi oleh setiap negara.

Masyarakat Melayu Singa­pura telah mencapai kemajuan sosial dan ekonomi yang bererti dalam lingkungan kehidupan di Singapura berdasarkan undang-undang dan amalan meritokrasinya. Kami sebagai sebuah negara sangat bangga dengan pencapaian-pencapaian ini dan kami akan terus mencapai kemajuan bersama-sama.

Ia adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa warga bukan Melayu di Singapura telah diberi ‘keutamaan’ dan ‘kelebihan’. Kami tidak me­ngamalkan sistem yang memberi kelebihan berdasarkan kaum dan penaungan.

Singapura tidak akan mem­benarkan penggunaan per­kauman atau agama untuk menimbulkan perasaan benci di antara golongan berbeza dalam masyarakat Singapura, atau percubaan untuk melemahkan institusi-institusi kami. Terima kasih.

Vanu Gopala Menon

Pesuruhjaya Tinggi 
Republik Singapura